Siri Bicara Tauhid Dalam Dimensi Fizik
Oleh : Abi Ahmad [ Interaksi dengan Allah ]
Bismillahirrahmanirrahim
PENDAHULUAN
Almarhum Prof. Dr Muhammad al-Mahdi (gambar sebelah) pernah membuat satu thesis untuk PhDnya yang keempat dalam bidang fizik untuk membuktikan bahawa tiada penciptaan kepada wujud alam. Allah tidak wujud, bahkan alam ini wujud dengan sendirinya. Tetapi beliau terpaksa akur dengan hasil kajiannya sendiri sehingga beliau berkata: ‘Oh! No.’ Dan beliau terduduk bungkam dengan bukti sains fizik bahawa Allah itu wajibul wujud. Beliau kemudiannya telah mencari Tuhan yang ditemuinya dalam fizik. Setelah hampir berputus asa, beliau telah menemui Tuhan (dalam Fizik) yang dicarinya di dalam Al Quran.
Prof Dr Osman Bakar telah menulis dalam bukunya Tawhid and Science :
"Dalam Islam, agama yang bertunjangkan kesedaran tauhid adalah sumber kepada roh keilmuan dalam semua bidang.”
Islam tidak pernah memisahkan sains dari keagamaan. Bahkan setiap ilmu itu merupakan ilmu tauhid. Alam ini sentiasa berkata bahawa ’Allah itu Esa, kembalikan dirimu kepada Allah!’. KeEsaan, Keagungan dan Kesempurnaan Allah terserlah bila wujud alam ini dikaji secara mendalam dan dipandu oleh nur Al Quran.
AQAL DAN WUJUD ALLAH
Allah adalah Dzat yang wajibul wujud. Wujudnya tidak boleh ditolak oleh akal yang waras. Maulana_Syed_Muhammad_Zauqi_Shah (1878-1951) (gambar sebelah) mengatakan bahawa adalah lebih susah membuktikan Allah tidak wujud dari membuktikan wujudnya Allah. Aqal manusia mempunyai potensi untuk mencapai keputusan bahawa Allah itu memang wujud, tetapi untuk mengenali Allah, aqal terhenti di sempadan yang besar tanpa panduan dari Allah sendiri. Cubaan untuk memahami hal ehwal Allah tanpa panduan langit akan membawa kesesatan kerana kelemahan aqal yang terikat dengan apa yang dapat dikesan oleh deria dan khayalan semata-mata.
KALAM MAQRU AH DAN KALAM MANZURAH
Allah memperkenalkan diriNya melalui kalamNya. Ayat Al Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW adalah kalam yang maqru ah (yang dibaca), yang mengajar serta memandu manusia untuk mengenal Allah. Al Quran merakam kalamullah yang mengatakan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat seperti berikut:
“Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); Dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, Sifat-SifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (As-Syuura : 11)
Al Quran mengatakan bahawa Allah berkata-kata dengan Nabi Musa as dalam firmanNya:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.” (An-Nisaa’ : 163)
Ini adalah contoh-contoh kalam maqru ah. Kalam maqru ah adalah ayat-ayat Allah yang tertulis di dalam mashaf Al Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW.
Al Quran juga memimpin hati, aqal dan deria manusia untuk menyelami lubuk alam diri dan alam semesta. Hasilnya adalah manusia akan mengenal keunikan dan kehebatan penciptaan dirinya sendiri dan alam yang didiaminya. Tanda-tanda atau ayat-ayat ini disebut sebagai kalam manzurah. Kalam manzurah adalah tanda-tanda yang wujud pada alam. Kita lihat bagaimana Allah memancing minat pengkajian dan penerokaan ilmiah dalam ayat-ayat berikut :
"Kamilah yang mencipta kamu (daripada tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya. Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?” (Al-Waqiah : 57-59)
”Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan?”(Al-Ghaasyiah : 17-20)
“Dan pada diri kamu sendiri, maka mengapa kamu tidak mahu melihat?” (Adz-Dzaariyat : 21)
Alam ini adalah kalam manzurah. Alam sejagat ini juga merupakan kalam yang hidup yang menjadi pentas Allah memperkenalkan diriNya kepada para hambaNya. Manusia yang meneroka alam akan menemui tanda-tanda serta jejak yang ditinggalkan oleh Sang Pencipta. Membaca isyarat yang ada pada lapisan-lapisan alam akan membawa manusia mengenali keagungan dan kesempurnaan Allah.
Kalamullah itu jelas di luar sana dan dalam diri manusia. Renungan ke lapisan yang lebih jauh dan mendalam akan membawa kita meneroka sifat-sifat Allah. Keindahan gunung ganang dan air terjun akan membawa manusia menikmati keindahan ciptaan Allah. Kajian melalui penggunaan teknologi membuka lapisan yang tidak terjangkau dengan deria biasa manusia. Seperti kosmologi, melalui teleskop super membawa manusia mengembara ke ufuk angkasa yang semakin jauh dan semakin jauh. Teleskop Hubble membawa pandangan manusia sejauh berbillion tahun cahaya menjangkau angkasa raya.
Daerah yang digelar Hubble Ultra Deep Field ini telah menuntut kekaguman manusia tentang kebesaran alam sejagat. Langsung ia memperkenalkan kekuasaan Allah mengatur objek yang tidak terbilang di angkasa raya. Sistem yang sempurna sehingga tiada perlanggaran yang menghancurkan alam semesta keseluruhannya menuntut kepakaran fizik gerakan yang amat halus. Sistem sel dalam tubuh manusia menyatakan ketelitian Allah dalam mencipta.
Lebih dalam kajian manusia menyelami dan memerhati alam, lebih banyak kefahaman tentang Allah yang akan terbuka dan difahami. Pengkajian dan penerokaan alam material ini dilakukan oleh para saintis. Mereka sebenarnya telah membuka kepada dunia pelbagai ilmu tentang Allah SWT. Lebih dalam mereka menyelam lebih indah dan mengkagumkan mutiara yang ditemui.
Bersambung...