Oleh : Abduhu al Haqir (abduhul.haqir@gmail.com)
Tauhid dan Tasawwuf adalah dua istilah yang tidak asing lagi bagi penduduk Asia Tenggara khususnya Malaysia. Ia terdiri daripada dua perkataan yang mewakili dua disiplin ilmu iaitu ilmu tauhid dan ilmu tasawwuf. Ilmu tauhid ialah ilmu yang membicarakan tentang keTuhanan sementara ilmu tasawwuf pula tentang akhlak dan adab yang lahir dari jiwa yang suci.
Kedua - dua ilmu ini saling berkaitan antara satu sama lain, ia dapat dilihat pada firman Allah Taala:
إنما المؤمنون الذين آمنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجاهدوا بأموالهم وأنفسهم في سبيل الله أولئك هم الصادقون
"Hanya sanya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak meraguinya dan berjihad dengan harta dan nyawa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar." (al-Hujurat : 15)
Dalam ayat ini Allah mengaitkan hubungan antara keimanan yang mutlak kepada Nya dan RasulNya dengan kemampuan berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa. Keimanan itu asasnya adalah tauhid dan berjihad itu adalah buah dari tauhid yang benar iaitu tasawwuf. Ini kerana orang yang benar tauhidnya kepada Allah sahaja yang benar cintanya kepada Nya, kecintaan ini mendorongnya melakukan apa sahaja hatta mengorbankan harta dan jiwa raga.
Dalam menggambarkan peri pentingnya tauhid tasawwuf ini Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda :
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فاليكرم ضيفه
"Sesiapa yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." (Muslim)
Banyak lagi nas-nas yang menggambarkan tentang kepentingan tauhid tasawuf memadailah kami sebutkan dua daripadanya.
Seruan kepada tauhid tasauf bukan hanya sekadar seruan agar dikaji ilmu itu tetapi seruan tersebut ialah kepada menghayati kedua-duanya sehinga ia menjadi kenyataan diri kita atau disebut "HAL" oleh guru kami al faqir Tokku.
Hanya dengan tauhid yang benar serta tassawuf yang hakiki syariat dapat dijalankan dengan sempurna. Lihatlah Nabi saw berdakwah di Mekah selama tiga belas tahun hanya menumpukan persoalan pembinaan tauhid di dalam dada para pendokong Islam dari kalangan sahabat r.a. Kerana tauhidlah Bilal r.a sanggup diseksa dengan diletakkan batu di atas perutnya di atas padang pasir.
Apabila Nabi صلى الله عليه وسلم berhijrah ke Madinah pun baginda tetap menekankan persoalan tauhid atau keimanan. Hal ini kerana tauhid dan tasawwuf itu adalah ruh syariat sebagaimana jasad tidak bernyawa tanpa ruh begitulah selanjutnya.
Umat Islam hari ini terlalu menekan persoalan hukum yakni syariat yang akhirnya kita dapati ramai dari kalangan umat Islam yang beramal dengan syariat pada zahirnya tetapi batinnya penuh dengan maksiat. Lihatlah berapa ramai wanita bertudung yang terlibat dengan gejala tidak bermoral terutama seks pra perkahwinan. Apakah kerana mereka tidak memahami soal hukum - hakam? Mustahil kerana keharaman zina termasuk perkara yang diketahui dengan mudah dalam agama Islam .
Pokok pangkalnya tidak lain melainkan mereka menghadapi krisis keyakinan hatta terhadap kewujudan Allah itu sendiri. Jadi dakwah tauhid tasawwuf ialah dakwah yang menekankan kepada pembinaan tauhid dari tauhid i'tiqadiyyah kepada syuhudiyyah terus kepada wujudiyyah.
Atau dengan mudahnya memindahkan tauhid yang bersifat ilmu dan retorik kepada penghayatan tauhid dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pada peringkat awalnya para murid dibimbing tentang ilmu tauhid berdasarkan fahaman ahli sunnah aliran asya'irah atau maturidiyyah oleh para murabbiy yang bersanad. Murid dididik meyakini kewujudan Allah, seterusnya kepada kehampiran Nya dan lagi kepada keadilan Allah yang Maha Berkuasa.
bersambung...