Khamis, Jun 17, 2010

Rentetan Kewujudan Majlis Muwasolah Baina al-'Ulama di Malaysia - 1

[Ralat : Berlaku kesilapan yang tidak disengajakan pada 'posting' 3 ptg. tadi. Yang dimaksudkan adalah Kiyai Muzakkir di Solo, bukan Kiyai Hj Ahmad Muzakkir Syah (Jember). Kesilapan ini disebabkan nama yang sama. Harap maaf - 'Ibadur Rahman]


ZIARAH KIYAI MUZAKKIR DI SOLO, INDONESIA

Sekitar Jan 2008, saya dan Syeikh Hassan As-Syazili, Mursyidul Am Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID MALAYSIA) beserta beberapa pimpinannya menziarahi Kiyai Muzakkir di Solo, Indonesia. Beliau seorang ulama dan pejuang yang amat dihormati masyarakat di sana. Muridnya sangat ramai dan mereka itu dididik dengan method al-Quran dan Hadis, menghormati khilaf ulama antara Salafi dan Khalaf.

Kiyai seorang yang kuat beribadah, solatnya begitu lama sama ada dalam qiam, rukuk dan sujudnya. Haibah beliau juga terserlah pada murid-muridnya dimana mereka berkemampuan membahaskan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis dengan mantap, walaupun ia tukang kebun sekalipun.

Semasa berlakunya tsunami di Aceh pada Disember 2004, para muridnya yang paling ramai dan menonjol dalam menguruskan ratusan ribu mayat yang bergelimpangan. Para murid bergilir menjaga tempatnya kerana pihak-pihak tertentu menganggapnya sebagai tempat latihan mujahidin. Hendak berjumpanya pun agak sukar kerana berada di bangunan empat tingkat yang mempunyai kawalan yang amat ketat.

Tujuan menziarahi beliau ialah untuk memahami sistem pengajian al-Quran secara harfiah yang dijalankan selama 3 bulan di tempatnya. Alhamdulillah, saya diizinkan bertemu dengannya dan berbincang dalam pelbagai perkara berhubung dengan ilmu dan permasalahan umat Islam masa kini.

MAJLIS MUWASOLAH (SILATURRAHIM) BERSAMA HABIB UMAR AL-HAFIZ DI BOGOR, INDONESIA

Setelah beberapa hari di tempat Kiyai Hj. Muzzakir Shah, kami kemudian berkunjung pula ke Bogor untuk mengikuti Majlis Muwasolah Baina Al-Ulama bersama al-Mukarram Habib Umar al Hafiz bersama para ulama Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia merupakan acara tahunan sebagai platform ulama Nusantara membincangkan pelbagai isu umat Islam masakini dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله, seorang ulama ahlul bait. Pengasas kepada pusat pengajian Dar al-Musthafa di Tarim. Beraqidah Asya’irah, bermazhab Syafie dan mengikuti tariqah Alawiyyah (Bani ‘Alawi). Beliau adalah ulama ’arifbillah yang menghimpunkan syariat dan hakikat. Seorang pendakwah yang gigih. Digelar ‘Habib Sejuta Muhibbin’.
Saya melihat majlis ini amat baik dalam menyelesaikan beberapa persoalan dan menyelaraskan kerjasama khususnya di kalangan para ulama. Habib Umar yang dikenali dengan ketinggian ilmu, akhlaq dan kerohanian amat dihormati di kalangan para Kiyai dan Habaib yang masing-masing memiliki pengikut yang sangat ramai.  
Majlis Muwasolah bukanlah bermaksud untuk menubuhkan organisasi, persatuan, gerakan atau jemaah baru sebaliknya ia hanyalah sebagai wadah diskusi ulama serta pendakwah bagi  mewujudkan kerjasama berkesan sesama ulama dan organisasi sedia ada.
Majlis Muwasolah tersebut bertemakan “Peranan Tarbiyah dan Tazkiyah dalam Perbaikan Umat”. Dalam majlis tersebut, Habib Umar menekan proses tarbiah diri dan ummah mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut :

  1. Perlu bimbingan Ulama
  2. Perlu sahabat yang mengingatkan kita
  3. Mendengar perkataan lawan / musuh 
  4. Jika kita boleh mengendalikan diri, nescaya boleh mengendalikan ummah 
  5. Mempunyai hubungan batin dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, wajib mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم lebih dari segalanya. Jika tidak kita tak mampu menyampai haq Nabi, bagaimana mahu berhubung dengan Baginda yang wafat lebih 1400 tahun dulu. Juga perlunya hubungan sanad dengan para Sahabat yang mereka dimabukkan cinta terhadap Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Hubungan batin yang kuat itulah yang dibawa oleh pendakwah dan pejuang Islam Alam Melayu, yang kekuatannya dapat dilihat sampai sekarang.
  6. Pentingnya tazkirah. Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengajar Saidina Umar al-Khattab (r.a) agar sentiasa muhasabah diri walaupun beliau dijamin masuk syurga dan syaitan lari apabila melihat bayangannya, hingga di kalangan sahabat mengatakan, “golongan yang kami cintai ialah mereka yang mengkhabarkan kejelekan ku”. Habib Umar juga menyeru agar institusi pondok sentiasa membaca kitab mengenai adab-adab. Penting tarbiyahnya dapat dilihat dalam kisah bagaimana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menangani persoalan seorang yang datang datang bertemu dan bertanya, “bolehkan aku berzina?”.
  7. Peranan daie di kalangan umat bagaikan doktor. Fanatik dalam satu-satu aliran atau kefahaman amatlah bahaya kerana akan mudah membida’ahkan, mengkufurkan hatta menghalalkan darah mereka yang tidak setuju dengan fahaman  mereka. Akibatnya timbul perpecahan yang besar di kalangan umat Islam, yang boleh mewujudkan permusuhan dan orang-orang kafir, munafik menjadi penonton dan bertepuk tangan!
  8. Di zaman ini, keimanan dalam diri seorang mukmin terkadang hanya pada gambaran zahir sahaja tetapi jauh dari hakikatnya. Penyakit yang menghantui persatuan-persatuan di kalangan  ummah adalah perdebatan sengit tanpa lapang dada. Sebenarnya jika mereka ingin berdebat maka dilakukan dengan memelihara adabiah, etika, santun dan tiada dikuasai nafsu. Ia wajib bersandarkan hujah-hujah ilmiah yang kukuh dan bertujuan untuk kebaikan ummah.
  9. Ahli Ilmu dan ahli Dakwah adalah dua keahlian yang berbeza, tidak semua ahli dakwah adalah ahli ilmu, begitu juga ahli ilmu tiada semestinya ahli dakwah.
  10. Banyak orang Islam yang menganggap ilmu dunia lebih baik daripada ilmu agama hingga menilai segala keilmuan yang berasal dari orang kafir adalah yang terbaik. Mereka anggap ilmu moden hanya ada pada orang-orang kafir dan tiada dalam Islam. Orang kafir lebih jujur, amanah dan baik… begitu tanggapan mereka.
  11. Jika dipisahkan agama dan kemajuan moden, atau agama menolak kemajuan, maka berlakunya kepincangan dimana masyarakat moden akan menjauhi agama.
  12. Ulama Rabbaniyun di zaman kini yang mampu mentarbiah jiwa ummah yang sedang sakit amat sedikit sekali.

Demikian antara beberapa peringatan Habib Umar dalam majlis tersebut. Segala penerangannya bagaikan mutiara yang menjadikan semua yang ada di dalam Dewan Besar diam, semuanya fokus dan memberi sepenuh perhatian terhadap ucapannya, bagaikan anak yang khusyuk mendengar pesanan seorang ayah.

Majlis berjalan dengan lancar dan di akhir majlis, wakil-wakil daerah dan negara disuruh membuat ulasan terhadap Habib Umar dan juga gerak kerja dakwah yang dilakukan mereka. Untuk mewakili rombongan Malaysia, saya diminta para sahabat mewakili mereka untuk berucap pada majlis tersebut.

Selepas selesai program, saya didatangi Habib Soleh al-Jufri berbincang langkah saya selepas pulang ke Malaysia nanti. Saya berjanji kepadanya bahawa pihak kami dari Malaysia akan berusaha agar majlis Muwasolah seumpama itu akan diwujudkan di Malaysia.

Sebenarnya saya dari dahulu lagi kurang bersetuju dengan cara sesetengah pihak di Malaysia mengatur dakwah Habib Umar apabila beliau berkunjung ke negara kita. Biasanya Habib Umar akan dibawa ke merata-rata tempat, masjid dan rumah serta mengadakan syarahan pada masyarakat umum tanpa ada golongan sasaran dan pembinaan secara tersusun.

Bersambung... [ Habib Umar, Ulama bertaraf Auliya' & Muwasolah di Malaysia 2010 ]