MAJLIS MUWASOLAH KE-1 DI MALAYSIA
Apabila kembali ke Malaysia, saya bertemu Ustaz Hj Yusri Mohamad yang ketika itu merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau juga ikhwan yang telah mengambil bai’ah Tarekah Syathariyah dari tangan saya dan kini bersama Al Fadhil Syeikh Haji Muhammad Fuad Bin Hj. Kamaludin al-Maliki memperjuangkan Ahlus Sunnah wal Jamaah melalui Yayasan Sofa Negeri Sembilan.
Syeikh Hj Muhammad Fuad merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan merangkap Penasihat Yayasan Sofa. Manakala Ustaz Hj Yusri pula memegang amanah sebagai Timbalan Yang Dipertua badan tersebut.
Oleh kerana beliau bersama-sama Syeikh Muhammad Fuad dalam Yayasan Sofa, beliau meminta izin dari saya untuk menerima bai’ah Tarekah Ahmadiah pula dengan Syeikh Muhammad Fuad. Saya memberi izin kepadanya kerana sebaiknya syeikh itu adalah dalam qariah murid jika ada, apatah lagi ia akan meringankan tanggungjawab saya di hadapan Allah kelak.
Syeikh Muhammad Fuad pula seorang yang alim, terkenal dengan akhlak yang baik serta gigih memperjuangkan Ahlus Sunnah wal Jamaah melalui pengajaran, penulisan dan program-program yang dianjur pihak beliau. Bahkan yayasan tersebut mempunyai Panel Penyelidikannya sendiri khususnya dalam menjawab isu-isu yang ditimbulkan golongan Wahhabi terhadap manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Dalam pertemuan dengan Ustaz Hj. Yusri, saya menyarankan agar diwujudkan pertemuan besar di kalangan pemimpin-pemimpin kumpulan @ jemaah Islam, Tuan-Tuan Guru, NGO Islam dan para pencinta Ahlus Sunnah wal Jamaah bersama Habib Umar di Malaysia untuk menerangkan visi Majlis Muwasolah. Turut serta dalam pertemuan dengan beliau ialah Ustaz Hj Razali Daud, Setiausaha ITMAM Pusat yang juga salah seorang ansari saya.
Alhamduillah, mereka bersetuju dengan saranan tersebut dan terus mengadakan tindakan susulan dengan mengadakan perjumpaan melibatkan Yayasan Sofa, ITMAM, Yayasan Al-Jenderami, Jamaah Al-Khidmah, Jamaah Khairiah, Madras E-Nur, Jamaah Tabligh dan Yayasan Al-Bukhari. Pada mesyurat itu semua pihak bersetuju mengadakan majlis tersebut pada penghujung 2008. Namun di saat akhir Habib Umar tidak dapat hadir kerana berlaku beberapa pergolakan politik di Yaman.
Pada November 2009, dimaklumkan Habib Umar sedia hadir ke Malaysia pada Januari 2010. Khabar gembira ini disambut dengan permuafakatan semua pihak yang berkenaan untuk mengadakan Majlis Muwasolah di peringkat Malaysia pada 10 hingga 11 Januari 2010 bertempat di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor. Ustaz Hj. Razali sentiasa menghubungi saya setiap waktu untuk memaklumkan perkembangan dan langkah yang diambil dalam menjayakan majlis muwasolah tersebut.
Oleh kerana masa yang ada terlalu singkat, maka agak sukar untuk mendapatkan penajaan dari badan-badan Kerajaan atau Korporat bagi membiayai perjalanan majlis. Namun alhamdulillah di saat-saat akhir, demi mengharapkan majlis ini beroleh keberkatan, pihak Habaib telah sepakat untuk masing-masing menghulurkan sumbangan peribadi mereka.
Susah payah, kesungguhan serta sokongan semua pihak yang terlibat termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah dapat memastikan majlis berjalan dengan baik dan lancar. Alhamdulillah, dewan majlis dipenuhi dhif-dhif jemputan di kalangan para Tuan-Tuan Guru, pemimpin NGO Islam, pendakwah serta ahli akademik dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Tujuan di adakan Majlis Muwasolah ini adalah :
- Menguatkan ikatan ta’aruf dan komunikasi antara ulama. Saling membantu dalam menghuraikan persoalan intipati agama yang dapat memberikan kemaslahatan pada masyarakat dan menjaga kepentingan umum yang mendasar bagi umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.
- Meningkatkan taraf kemampuan ilmiah di halaqah, madrasah, pondok, dan pusat pendidikan Islam dengan merangkumi pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs), pendidikan akhlaq serta kecekapan dan kebijaksanaan dalam dakwah fisabilillah.
- Memberikan penjelasan yang benar atas isu-isu atau perubahan semasa dan terkini agar pandangan para ulama atas masalah tersebut menjadi lebih mendalam dan lebih bersesuaian dengan keadaan dan kesatuan umat.
Antara saranan yang turut dikemukakan adalah :
- Saling berkunjung
- Saling berdiskusi
- Menyampaikan apa yang dipahami para ulama kepada yang lain dalam kaitannya dengan isu yang penting, atau menyampaikan hasil sebuah penelitian, kemajuan, temuan atau ciptaan baru yang bermanfaat atau penerbitan dan produk lainnya.
Pada majlis tersebut, Habib Umar turut menekankan perkara-perkara berikut :
- Tugas ulama sebagai sinar penunjuk bagi menyelamat ummah & menjaga ajaran Allah.
- Kepentingan muafakat, kerjasama di kalangan ulamak.
- Perlaksanaan dakwah yang sesuai dengan realiti semasa.
- Memelihara kepentingan umat berdasarkn kerangka dan landasan agama yang lurus, bersifat terbuka tanpa sikap fanatik melampau, mengelirukan umat dan kurang prihatin.
- Semua unsur kekuatan dapat dicurahkan demi keperluan utama umat dalam mnjaga agama dan kesatuan umat.
- Kehalusan adab sesama ulama dan menghormati adab dalam berkhilaf.
Walaupun saya tidak menghadiri majlis tersebut kerana keuzuran, namun segala butiran program dan ucapan sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh para sahabat.
Majlis tersebut turut bersetuju untuk mewujudkan Majlis Muwasolah di Malaysia dalam mengukuhkan dakwah dan tarbiyah ummah berdasarkan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah. Majlis tersebut dirancang diadakan setahun sekali dan komiti Majlis Muwasolah akan diwujudkan di setiap negeri. Semoga Allah sentiasa merahmati Habib Umar Al-Hafiz yang telah mewakafkan dirinya untuk ummah tanpa penat dan lelah demi cinta dalam mengikuti jejak perjuangan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan demi cinta sesama insan.