Ahad, Mei 02, 2010

Aku Hanya Memberi Nasihat, Pilihan di Tanganmu...

Aku berpegang pada prinsip menghormati dan tiada mencampuri gerak kerja dakwah para sahabat dan muhibbin dalam usaha mereka menyampaikan apa yang mereka pelajari dariku dalam Kuliah Ad-Deen. Buatlah pilihan yang tepat demi kebaikan diri, suasana dan masyarakat.

Aku hanya memberi nasihat jika diminta, namun keputusan yang baik adalah dari diri sendiri. Apa yang penting hormatilah apa yang ada pada orang lain, jangan ada niat memusuhi sesiapa jua walaupun dirimu dimusuhi. Teruskan dakwah “Kesedaran Fitrah KeTuhanan dan Kehambaan” jika kamu mempunyai kesedaran bahawa ia penting untuk disampaikan. Tiada sesiapa yang memaksa dirimu, hanya dirimu sahaja tahu jawaban kenapa kamu perlu lakukannya.

Kita wajar menjalankan tanggungjawab berdasarkan kekuatan dan kepakaran diri yang dianugerah Illahi. Ibarat mendirikan bangunan, walaupun masing-masing fokus dalam kepakaran yang dimiliki, namun ianya hanya menuju ke satu matlamat iaitu membangunkan bangunan yang diimpikan itu.

Betapa indahnya alam ini apabila ia dihuni manusia yang memiliki kesedaran Ketuhanan, kesedaran kehambaan, kesedaran kepentingan sesama insan dan kesedaran kepada merahmati alam.

Sesungguhnya Al-Quran adalah bicara Allah SWT kepada insan, kalamnya mengetuk sirr, ruh, qalbu, akal dan seluruh tubuhmu kepada satu kesedaran bahawa kamu adalah hamba pilihanNya yang dicipta untuk mengenal, mencintai dan beribadah kepadaNya dengan sesuci-sucinya tanpa ada sesuatu yang lain daripada DiriNya. KalamNya menyedarkan tentang hakikat kehidupan dan dimanakah penghujung kehidupan ini.

Sesungguhnya amat rugilah mereka yang memiliki Al-Quran namun tiada menyedari bahawa Al-Quran adalah untuk DIRINYA!