Pondok adalah benteng dalam mempertahankan manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Ia menekankan sistem pengajian berdasarkan Sanad dan Talaqqi bagi memelihara aspek keaslian ilmu, keberkatan dan adabiah.
Sistem kelimuan Islam kini berada dalam kecelaruan disebabkan timbulnya pelbagai aliran ilmu yang tiada menekankan sanad dan talaqqi. Mereka membaca kitab-kitab tanpa bertalaqqi dengan guru-guru yang mempunyai sanad ilmunya sampai kepada pengarang kitab.
Ia boleh menimbulkan salah takrifan dalam memahami maksud yang dikehendaki. Disamping itu tiada mengetahui kebenaran atau keaslian sesuatu kitab itu kerana banyak naskah asal kitab kini hilang, atau tiada cukup muka suratnya, terjemahan yang tidak tepat dari maksud kalimah yang asal dan sebagainya.
Kesannya, akan berlaku kesalahan yang besar dalam memahami keilmuan para ulama-ulama muktabar dahulu tanpa disedari. Salah kefahaman akan timbulkan kesalahan dari sudut pegangan dan amalan. Justeru, walaupun sesuatu kitab itu masih sama dari segi namanya dan pengarangnya, ia perlu diteliti dan dihalusi lagi. Sebab itu dalam manhaj ASWJ, disiplin pengajian sanad dan talaqqi ini amat dititik beratkan bagi mengelakkan hal ini terjadi.
Sistem pengajian Islam di universiti yang diamalkan kini adalah sistem yang menghapuskan pengajian sistem bersanad, barakah, adabiah, amal, kesepaduan ilmu, keikhlasan dan lainnya. Kesan buruknya amat banyak. Sebagai contoh, Islam amat menghormati budaya khilaf namun menolak jika tiada padanya adab dalam khilaf.
Mereka yang mengambil pengajian Islam di universiti tidak akan melahirkan pelajar yang ikhlas, mantap imannya dan bersepadu ilmunya. Mereka hanya fokus terhadap pengajian yang diambil untuk peperiksaan sahaja, tanpa mempelajari keilmuan dalam bidang-bidang yang lain. Maka lahirlah pelajar yang celik tentang fekah tetapi jahil tentang tauhid, alim tentang tauhid tetapi jahil tentang tasawwuf, alim tasawwuf tetapi jahil tentang fekah dan tauhid. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi Profesor, Dr. atau Pensyarah dalam bidang ilmu mereka dengan terus berada dalam kebutaan dalam bidang ilmu yang lain.
Ramai sahabat saya di kalangan pensyarah memang pakar dalam bidang pengkhususan kajian mereka. Namun, apabila berbincang dalam bidang keilmuan yang lain dari bidang mereka itu, mereka hanya terlopong sahaja dan tidak dapat menyambung bicara disebabkan tiada pengetahuan atau kefahaman dalam bidang ilmu tersebut. Dengan kata lain, mereka tiada keilmuan Ad-Deen yang bersepadu dan akibatnya berlaku kecacatan dalam kefahaman dan pengamalan mereka.
Pernah satu ketika saya mempertikaikan satu Tesis peringkat PhD. sahabat saya yang membawa gelaran Dr. padanya. Saya pertikaikan berkaitan dengan kritikan dalam tesisnya terhadap sebuah kitab karangan seorang ulama silam yang masyhur di Nusantara. Saya bertanya kepadanya bagaimana dia memahami kitab tersebut. Dia menjawab, “melalui pembacaan dan perbincangan dengan para sahabat di kalangan pensyarah-pensyarah’.
Saya lantas menyatakan, jika saya menjadi orang yang dipertanggungjawabkan untuk menilai dan meluluskan tesisnya itu, nescaya saya tak akan luluskannya disebabkan banyak berlaku kesalahan dalam menghuraikan maksud yang dikehendaki pengarang kitab. Bahkan kritikan yang dibuatnya terhadap kitab tersebut juga terbit dari salah faham beliau terhadap maksud sebenar pengarangnya. Saya menjelaskan satu persatu kesalahan dalam tesisnya dan huraian sebenar yang dimaksudkan oleh ulama tersebut.
Mungkin menyedari kesilapannya, dia bertanya bagaimana mahu memohon maaf dengan ulama tersebut. Saya, secara bergurau mengatakan dia perlu pergi ke maqam ulama tersebut dan berzikir tahlil sebanyak 70 ribu kali dan dihadiahkan kepadanya beserta dengan niat untuk menebus kesalahannya.
Begitulah satu contoh yang berlaku. Namun, dengan sistem keilmuan yang didasarkan kepada sistem Barat ini, maka tesisnya itu tetap disahkan dan diakui oleh kalangan ahli akademik yang juga jahil (maaf) dan tiada memahami maksud sebenar ulama tersebut. Asalkan tesis itu menepati disiplin dan standard yang mereka tetapkan, ia dikira lulus dan dapatlah pangkat gelaran Dr. dan sebagainya kepada orang yang menyiapkan tesis itu!
Kadang-kadang huraian tesis itu memang menepati maksud pengarang kitab tapi disebabkan tidak menepati piawai pihak atasan yang bertanggungjawab menilai dan meluluskannya, maka ia tidak diluluskan juga. Inilah satu contoh kepincangan yang berlaku apabila disiplin sanad dan talaqqi tiada dipelihara.
Namun tidak semua kalangan ahli akademik universiti bersifat begitu. Ramai juga di kalangan mereka yang ikhlas dan mengetahui kelemahan sistem tersebut. Justeru itu setengah mereka mencari guru-guru yang lain untuk mengambil sanad talaqqi dalam pelbagai bidang ilmu bagi melengkapkan pengetahuan mereka sebagai seorang muslim dan ulama. Dalam masa yang sama tidak dinafikan, antara kebaikan universiti ialah ia memiliki informasi-informasi dan pengetahuan berdasarkan kajian mendalam yang dilakukan yang amat diperlukan oleh kita.