Isnin, Mei 03, 2010

Ustaz Mustaffa Kamal & Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (IPTAF) - Cerita di Sebaliknya...

Hasil daripada perjuangan Abuya mengembangkan Pengkajian Tauhid Tasawwuf di Aceh dan Indonesia, maka ada di kalangan sahabat-sahabat saya yang bersemangat telah mendaftar suatu badan bernama Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawwuf (IPTAF) sebagai wadah NGO untuk perjuangan di Malaysia.

Ustaz Mustaffa Kamal
Walaupun sudah lama didaftarkan, ia hanya aktif apabila diterajui Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah kira-kira setahun lalu. Beliau yang saya kenali adalah seorang pendakwah yang gigih, petah berbicara, agak keras pendiriannya dan agresif dalam dakwahnya. Beliau amat meminati bidang fekah pada awalnya.

Ketika mahu mengadakan lawatan ke Aceh bersama rombongan Guru-Guru ITMAM (Kesatuan Madrasah Islamiyah) pada pertengahan 2008, beliau mahu ikut serta rombongan walaupun ada bantahan di kalangan sahabat-sahabat yang meragui kecenderungan aliran ilmunya pada ketika itu.

Saya tiada mengenali bagaimana pegangannya ketika itu, namun tetap bersangka baik dan mengharapkan kebaikan. Akhirnya beliau turut serta melawat Aceh, menziarahi dayah-dayah (pondok-pondok) dan bermuzakarah dengan para Guru dayah.

Syeikh Yusuf Al-Hasani
Selepas pulang dari Aceh, hubungan saya dengan beliau bertambah akrab dan keterbukaan ilmunya terhadap tasawwuf mula terserlah. Kedatangan Syaikh Yusuf bin Muhyiddin al-Bakhour al-Hasani (bekas Mufti Kanada) mengadakan Daurah Kitab Haqaiq Tasawuf di madrasahnya selama 3 hari lebih lagi menambah cintanya pada Tauhid Tasawuf. Malah beliau telah mendapat keizinan menyampaikan kitab tersebut dan mendapat ba’iah Tarekah Syaziliyah daripada Syaikh Yusuf.

Habib Umar Al-Hafiz
Kemudian beliau menyatakan kerinduannya pada saya untuk ke Yaman menimba ilmu dengan Habib Umar Al-Hafiz. Saya menghubungi Baba Abd. Aziz untuk mendapat maklumat bagaimana ke sana memandangkan Baba Aziz mempunyai jaringan perhubungan dan kenalan yang ramai di luar negara.

Alhamdulillah pada tahun tersebut Habib Umar mengadakan Daurah Tahunan selama 40 hari di tempatnya di Darul Mustafa, Hadramaut, Yaman. Maka akhirnya Ustaz Mustaffa Kamal bersama beberapa sahabat dari ITMAM bertolak ke Yaman dan mengikuti Daurah Tahunan tersebut dengan jayanya.
Sebaik pulang dari Yaman, Ustaz Mustaffa Kamal banyak menunjukkan perubahan sikap baik dari sudut ilmu, syarahan dan khutbah Jumaatnya. Malah sesetengahnya sampai menitiskan air mata mendengar syarahannya.

Syeikh Nuruddin Marbu
Al-Banjari
Saya hanya mengetahui perkembangan beliau secara jauh kerana ketika itu saya merantau ke Indonesia selama beberapa bulan. Saya mengetahui beliau juga mengikuti daurah Syaikh Nuruddin Marbu Al-Banjari di Bogor, Indonesia dalam Ilmu Hadis dan Usul Fiqh. Ketika itu saya ada bersama di majlis Muwasolah Habib Umar di Bogor, Indonesia.

Apabila pulang ke Terengganu, beliau datang menziarahi saya dan menyatakan hasratnya untuk muzakarah kitab Hikam dan bersuhbah rohani dengan saya. Saya sekadar menyambung barakah salasilah Tarekah Syathariyah kepadanya dan membimbing pengajian kitab Hikam dan Minhajul Abidin beliau.

Salah satu Majlic Cinta Rasulullah sallaLlahu 'alaihi
wassalam di Ribath Al-Hidayah Ghazaliyah. Beliau
juga adalah Mudir Ribath tersebut
Melihat pada potensinya yang mempunyai akhlak, keilmuan, kepimpinan dan dihormati masyarakat, para sahabat mencadangkan agar diserahkan wadah NGO IPTAF kepadanya untuk dipimpin. Apabila diutarakan padanya, Ustaz Mustaffa Kamal terus bersetuju kerana baginya, dengan wadah IPTAF beliau boleh bergerak bebas menyampaikan method dakwah yang diingininya dengan lebih meluas kepada segenap kelompok masyarakat.

Namun dalam waktu yang sama, saya melahirkan kebimbangan akan berlakunya pertembungan budaya dakwah yang beliau dokongi dengan pihak PAS, pihak kerajaan dan badan-badan dakwah lainnya. Ini kerana method dakwah Tauhid Tasawwuf secara terbuka amat baru bagi masyarakat di sini.

Tasawwuf lebih dikenali masyarakat kini sebagai ajaran sesat, golongan anti dunia, anti perjuangan, asyik dengan zikir tanpa memperdulikan masyarakat dan lain-lain. Mereka tidak kenal tasawwuf dalam konteks ilmu yang menjadi salah satu dasar rukun Ad-Deen. Namun Ustaz Mustfafa Kamal mempunyai perkiraan sendiri dan mempunyai ‘team’ pendukungnya yang kuat. Beliau menyatakan sanggup menghadapi apa jua mehnahnya nanti dan sanggup berkorban demi membawa perubahan masyarakat daripada belenggu dakwah hukum kepada dakwah sufiah.

Bermula saat itu, Ustaz Mustaffa Kamal mula memimpin IPTAF dengan didukung kuat oleh kalangan anak muridnya dan dibantu segelintir daripada sahabat dan muhibbin saya yang mempunyai anggapan baik bersama IPTAF dibawah pimpinan Ustaz Mustaffa Kamal.

Sahabat dan para muhibbin tahu saya kurang bersetuju jika bergerak pada satu wadah yang nanti akan memperlihatkan kekuatan @ dianggap seperti satu jamaah tertentu, yang dibimbangi akan berlakunya pertembungan dan permasalahan di kemudian hari.

Walaupun begitu, saya tetap berpegang pada prinsip untuk tidak mencampuri urusan dakwah dan strategi mereka kerana menghormati apa yang ada pada mereka. Saya sekadar memberi nasihat demi kebaikan semua pihak. Dalam masa yang sama, saya akan tetap mendukung mereka apalagi jika menghadapi permasalahan dengan perjuangan mereka dengan doa dan nasihat.

Ustaz Mustaffa Kamal dalam dalam majlis bersama
Abuya Amran Waly di Meulaboh, Aceh
IPTAF kini mempunyai struktur kepimpinannya sendiri di kalangan murid-murid Ustaz Mustaffa dalam membuat keputusan dan tindakan. Saya sendiri tiada haq untuk membatalkan perancangan dan keputusan mesyuarat mereka, malahan tidak semuanya dalam pengetahuan saya.

Method dakwah Tauhid Tasawwuf Ustaz Mustafa Kamal tiada sama dengan method Pengkajian Tauhid Tasawwuf Syaikh Abuya Amran Waly di Aceh. Ustaz Mustaffa Kamal lebih cenderung kepada method tasawwuf Hadrat Maut yang menumpukan pembangunan jiwa insan bermula membina ikatan cinta dengan Rasulullah sallalLahu ‘alaihi wassalam dan menekan Iman, Islam dan Ihsan secara bersepadu. Method Abuya Amran Waly pula lebih menumpukan perbahasan ilmu yang mendalam dalam dzauk Tauhid Syuhudiah dan Tauhid Wujudiah yang Muwahhid.

al faqir Tokku