Pendidikan adalah asas penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah bangsa. Apabila penjajah menguasai sesebuah negara, mereka akan mendirikan pusat pendidikan untuk menanam idealogi mereka kepada bangsa jajahannya. Dengan cara itu, ia dapat meruntuhkan budaya sesuatu bangsa atau agamanya, baik dari segi pegangan, pemikiran dan kelakuan mereka secara lembut dan perlahan-perlahan.

Umat Melayu telah hampir hilang identiti mereka sedangkan asalnya mereka amat berpegang teguh pada agama. Agama menjadi teras utama dalam pembangunan negeri, pentadbiran istana, cara hidup para pembesar dan masyarakat. Namun semuanya dihancurkan melalui penjajahan pemikiran dan jiwa dengan senjata pendidikan yang berteraskan SEKULARISME.
Penjajah mempunyai kebijaksanaan yang hebat dalam usaha menghancurkan budaya setempat. Sebelum menjalankan misi mereka, mereka akan melakukan kajian yang amat teliti terhadap sifat dan budaya sesuatu bangsa yang ingin dijajahnya. Dalam konteks orang Melayu, mereka tahu bahawa di sebalik kelembutan orang Melayu, ia juga terkenal dengan sifat amuk dan teguh dalam mempertahankan nilai-nilai bangsa dan agamanya. Justeru, mereka tidak melakukannya dengan kekerasan yang melampau, sebaliknya melalui kaedah memujuk dan mempengaruhi secara halus.
Mereka tidak mahu menjadi sultan tetapi sekadar penasihat sultan. Mereka tidak memerangi agama malah berpura-pura menghormati agama dan alim ulama, tetapi mereka memisahkan agama dan alim ulama dalam pemerintahan. Urusan agama diserah di bawah kuasa pentadbiran Raja-Raja sedangkan urusan pemerintahan yang lain dibawah mereka.
Mereka tidak meruntuhkan madrasah-madrasah Islam tetapi menawarkan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lumayan jika seseorang itu cemerlang dalam sistem pendidikan mereka. Di sekolah mereka, ajaran agama tetap berjalan tetapi ia bukanlah keutamaan, agama sekadar sampingan. Islam dikitar semula mengikut fahaman mereka sehingga orang Islam yang tiada mengikuti “acuan Islam mereka”, maka golongan tersebut digelar ekstrim, jumud, melampau dan pengganas.
Sekularisma Warisan Penjajah
Budaya ini diteruskan dalam sistem pendidikan sampai sekarang, sehingga tiada sedar secara perlahan orang-orang Melayu telah ditukar identitinya. Hanya warna kulit, muka dan percakapan saja Melayu, tetapi pemikiran dan jiwa mereka bukan lagi Melayu. Malah, setengahnya sudah tidak pandai bercakap dalam bahasa Melayu dan ada setengahnya seperti malu dan ralat untuk berbahasa Melayu. Mereka berbangga dalam meruntuhkan identiti bangsa kurniaan Tuhan dengan mengangkat budaya penjajah yang menindas mereka.

Ini semua adalah kesan dari pendidikan yang disemai oleh penjajah sedari usia kanak-kanak hingga ke universiti. Apabila tamat belajar dan memperolehi segulung ijazah, akhirnya ia terus bekerja dibawah sistem kerja yang juga berteraskan sekular. Apabila berurusan dalam hal-hal pentadbiran dan operasi kerja, ia juga berteraskan sekular.
Ibadah dan amalan akhirat hanya ditafsirkan dengan solat, puasa, zikir dan lainnya sedangkan urusan pekerjaan (dalam apa bidang sekalipun) ditafsir sebagai urusan duniawi, tiada kaitan dengan akhirat. Urusan politik, ekonomi, perundangan, sosial, pendidikan, perubatan, inovasi, teknologi, sains atau lainnya dianggap tiada kaitan dengan Allah, ibadah dan akhirat.
Para guru agama setengahnya juga terkena virus sekular ini sehingga mereka lebih selesa dengan perbahasan fekah, tauhid dan tasawuf yang berlebih-lebihan tanpa memperdulikan urusan lain yang dianggap urusan duniawi semata-mata. Malah ada sahabat saya yang menentang mempelajari sains di madrasah kerana ia dianggap pelajaran dunia. Beliau ini satu contoh orang agama yang terkena virus sekular.
Jangan ingat ahli dunia sahaja yang terkena virus sekular yang memisahkan urusan dunia dengan agama, bahkan orang agama pun terkena virus yang sama bilamana mereka menganggap agama itu tiada kaitan dengan urusan duniawi termasuk cabangan pelbagai ilmu moden masa kini.
Racun Akidah
Ibu bapa yang tiada mengambil berat akan urusan agama anak mereka akan hancur dengan racun tersebut. Tetapi jika ibu bapa memahami agama itu dengan kewajipan sekadar memastikan anak mereka sembahyang, berpuasa, berakhlak mulia semata-mata tanpa mengarahkan hala tuju dan matlamat hidup ke akhirat, maka kehidupannya tetap berpaksi kepada ajaran sekular!
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (al-Qasas: 77)
Anak bangsa ini telah sesat dengan ayunan dan kelembutan bahasa penjajah. Namun, jiwa yang memahami ayat ini akan meronta dan menangis bagaimana mahu menyelamatkan diri dan anak bangsa dari racun ini.
Racun ini menyebabkan Allah dan Rasul sudah hilang dari jiwa anak-anak bangsa di hari ini. Mereka bersyariat tanpa memiliki kesedaran jiwa. Akidah mereka tiada menjadikan mereka tertambat hati dengan Allah dalam kehidupan dan tiada menjadikan Allah sebagai matlamat utama.
Akidah mereka tiada menjadikan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam sebagai kecintaannya, sebagai guru bagi segala ilmu kehidupan dan punca kerahmatan bagi sekelian alam. Akidah mereka juga tiada mendatangkan kesedaran pentingnya al-Quran sebagai panduan hidup mereka sebagai hamba Allah yang amat lemah dalam mengatur kehidupan ini.

Alhamdulillah, bertitik tolak dari situ, PAS dibawah kepimpinan ulamanya telah meletakkan persoalan akidah dan tarbiyah sebagai keutamaan kepada ahli-ahlinya. Ini amat berbeza dengan PAS ketika di bawah al-marhum Dato’ Asri yang lebih mengutamakan soal politik dan bangsa walaupun dasarnya Islam.
Justeru, saya akan sentiasa mencintai Tuan Guru di atas kesedaran yang diberikan itu.
Jelaslah bahawa ajaran sekular amatlah berbahaya kepada akidah umat Islam. Ia menjadi senjata ampuh penjajah untuk meruntuhkan akidah dan melemahkan ummah dengan menjadikan institusi-institusi pendidikan di semua peringkat sebagai medan untuk menjayakan misi mereka.

Antaranya beliau menyebut :
"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.
Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.
Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."bersambung... (Kenapa Pendidikan Ribath?)