Nukilan : Darwisyah (pelajar-pelajar perempuan di bawah bimbingan dan didikan Tokku)
Kata-kata Guruku (TOKKU) di atas memberi makna yang amat mendalam padaku. Kata-kata ini sesungguhnya dapat dihuraikan dengan pelbagai hujah yang boleh memberikan kesedaran kepada diriku dan orang lain.
"Kita tidak perlu mencari cinta Allah kerana cinta Allah sudah ada pada diri kita.."
Cinta Allah tidak perlu lagi dicari kerana ianya bukan seperti barang yang hilang yang perlu dicari untuk mendapatkannya, sebaliknya cinta Allah sudah ada dengan kita (dalam diri kita), justeru itu tidak perlulah kita mencari barang yang dah tersedia ada pada kita.
Begitu banyak dalil yang menunjukkan kecintaan Allah pada kita seperti bermulanya kejadian diri kita yakni Nabi Adam (a.s), seluruh alam semesta ini dan seumpamanya lagi. Jikalau bukan kerana cinta Allah pada diri kita, nescaya Allah tidak akan mencipta makhluk dan seluruh alam semesta ini. Malah segala ciptaanNya dimulai dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim yang bermaksud ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.
Kalimah ini memberi makna segala kejadian yang diciptaNya adalah di atas sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya.. Begitu juga dengan segala kejadian anggota badan, tumbuh-tumbuhan, haiwan serta seluruh alam sama ada alam nyata atau ghaib, semuanya berjalan di atas sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya.
Sifat Ar-Rahman Allah dikurniakan kepada seluruh makhlukNya, walaupun makhluk itu mengingkariNya. Allah tetap mencurahkan (memberikan nikmat) kepada mereka, betapa kasih dan cintaNya Allah kepada kita! Sifat Ar-RahimNya pula hanya dikhususkan pada orang-orang Mukmin, yang benar-benar taat pada perintahNya.
“Dan orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah!” (Al-Baqarah: 165)
Tetapi sesunggunya masih ramai yang tidak menyedari betapa Allah amat mencintainya dan begitu sedikit manusia yang bersyukur kepada Allah.
Allah Taala berfirman :
“… Dan sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Saba’: 13)
Nikmat yang Allah kurniakan tidak terhingga banyaknya, maka wajiblah atas kita membalas cintaNya seperti mana kita berbudi terhadap orang yang telah banyak menolong kita,dan menggunakan pemberianNya dengan sebaik-baiknya.
Untuk menghargai Allah Taala terlebih dahulu kita wajib makrifat (mengenal) akan DiriNya. Jika kita tidak makrifat maka segala pemberianNya akan tidak kita harga dan mensia-siakannya. Bila sudah ada makrifat, maka kita akan nampak bahawa semua nikmat yang ada pada kita dan di sekeliling kita adalah dari Allah, lalu kita akan mensyukurinya.
Imam Ghazali rahimahullah Ta’ala ada menyatakan: “Hakikat syukur itu bukanlah dengan kamu membilang-bilang nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu, tetapi hakikat syukur itu ialah dengan kamu mengetahui bahawa tiada yang memberi nikmat itu melainkan Allah SWT!” (Haqaiq Tasawuf, Syeikh Abd Qadir Isa)
Rasa syukur bukan semata-mata kerana nikmat Allah yang diberikan, malah setiap ujian dan musibah yang datang kita hadapinya dengan rasa syukur. Qalbi yang Allah berikan kepada kita, kita gunakan untuk mengingatiNya. Segala ibadah yang kita buat atas rasa syukur dan cinta padaNya. Tubuh badan yang Allah berikan kita gunakan pada jalan yang diredhaiNya dan lainnya.
Apabila tiap sesuatu itu dibuat atas dasar cinta, ianya tidak lagi menjadi satu kepayahan dan kesusahan. Semua ini dilakukan dengan rela hati terhadap yang dicintaiNya, tidak perlu lagi bermujahadah untuk beribadah.
Oleh itu kita tidak perlu lagi mencari cinta Allah kerana cinta Allah sudah ada pada diri kita. Balaslah cinta Allah dengan perasaan syukur setiap masa kerana Allah telah berjanji barangsiapa yang bersyukur Allah akan menambah nikmatNya sebagaimana firmanNya :
Terima kasih kepada Tokku di atas ilmu dan bimbingan yang diberikan kepada kami. Sekarang dapat ku rasakan cahaya cinta Allah itu bagaikan mengalir dalam setiap aliran darahku dan dalam setiap nafasku! Syukur...Wallahu ‘alam.