Jumaat, Mei 07, 2010

Kewajipan Memiliki Kesedaran Politik - Bahagian 2/2

Punca Konflik

Konflik yang timbul sekarang, seperti yang dibangkitkan sahabat-sahabat saya adalah kerana wujudnya pelbagai aliran ilmu, sikap tiada menghormati, prasangka dan akhlak buruk pemimpin dalam parti. Permasalahan ini memang wujud dan tidak boleh dinafikan ia berpunca dari kelemahan aspek tarbiyyah namun kita wajib memahami bahawa kita tidak boleh mengharapkan kesempurnaan jemaah dalam semua aspek, walaupun dasar dan ucapan mereka menggambarkan kesempurnaan @ ideal.

Medan amal tiada sama dengan medan cakap. Namun sikap mereka tiada mewakili sikap semua ahli jemaah mereka. Saya berpesan kepada semua sahabat agar berjiwa besar dan memahami bahawa sikap berkecil hati, marah, menjauhi adalah merugikan agama, rakyat dan negara. Apa jua perselisihan ilmu, celaan, prasangka, bercanggah pendapat tiadalah boleh dijadikan sebab untuk kita berpecah dalam hal yang kita semua wajib memainkan peranan masing-masing.

Konflik yang dihadapi oleh sebahagian sahabat adalah satu hal, manakala membetulkan kemungkaran dalam perkara dasar adalah satu hal yang lain. Ia dua perkara yang berbeza yang harus difahami, justeru ia memerlukan kita bersikap dengan matang tanpa diselubungi emosi.

Dengan sistem demokrasi yang membenarkan rakyat berbeza pendapat, kita perlu gunakan dengan sebaiknya untuk bersama-sama dengan parti yang dilihat boleh memperjuangkan prinsip-prinsip yang kita fahami, agar kemungkaran yang tiada boleh dicabut dengan dakwah, dapat dicabut dengan kuasa. Tiada tujuan lain perjuangan melalui parti melainkan untuk memberi kebaikan kepada rakyat.

Kepada rakyat yang tiada memahami matlamat kita, bersabarlah dan teruslah berbuat baik terhadap mereka. Dakwah dan jihad bukan bertujuan mencari pengiktirafan manusia, tetapi menunaikan tanggungjawab sebagai mukmin dalam mencapai redha Allah SWT.

Kesedaran Politik Bersepadu

Saya menekankan kesedaran bersepadu dan bersifat saling menghormati walaupun berbeza pendapat. Kesedaran politik mesti disepadukan dengan kesedaran hukum, kesedaran ihsan (adab-adab dalam berpolitik), kesedaran iman dan kesedaran dakwah. Semua pihak wajib berperanan dalam membimbing masyarakat kepada ketakwaan sama ada dari madrasah tauhid, madrasah sufi, madrasah fekah, madrasah dakwah dan madrasah politik. Kita wajib menghormati pihak lain di atas peranan dan kegigihan mereka serta wajib memberi apa jua sumbangan yang diperlukan mereka.

Semua itu tiada wajar berpecah atau dipecahkan, ia hendaklah disepadukan dan diikat dalam saff Islam demi kebaikan ummah.

Dalam waktu yang sama, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa perjuangan dakwah kepartian (PAS) telah memberi sumbangan yang amat besar dalam landskap politik Malaysia. Perubahan dasar-dasar kerajaan hari ini kepada Islam sebahagian besarnya adalah hasil perjuangan dan jihad golongan mereka yang sanggup berkorban apa saja demi kebaikan agama, rakyat dan negara.

Jika kita dapat menghirup udara Islam dalam dasar-dasar negara sekarang, kebanyakkannya adalah hasil dari titik peluh dan darah para pejuang di kalangan ulama-ulama dan ahli-ahli PAS. Perjuangan PAS yang meletakkan dasar Islam mula diterima oleh semua golongan di negara ini dan ianya adalah peluang yang besar dalam memberi kesedaran bagi sekelian manusia bahawa Islam adalah yang terbaik dalam apa jua sistem kehidupan mereka.

Hanya Allah jua yang dapat membalas jasa perjuangan dan pengorbanan mereka. Semoga segala langkah-langkah mereka dikira oleh Allah sebagai amal jihad di sisiNya.