Pemergian Syaikh Abu Dahlan Tanah Abe, Aceh ke sisi Kekasihnya empat tahun dahulu amat ku rasakan. Hingga kini masih segar dalam ingatan saat-saat bersama al-marhum. Dengannya aku mendapat bimbingan ilmu rohani dan diangkat menjadi Khalifah Tarekahnya iaitu Tarekah Syathariyah, disaksikan sahabatku dan khalifahnya Prof Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah (PhD.UKM - Fellow Penyelidik Kanan/Pensyarah Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM) dan Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat, ulama dan Ahli Majlis Fatwa Singapura.
Syaikh Abu Dahlan atau nama sebenarnya Tgk H Muhammad Dahlan Al-Fairusi Al-Bagdadi (63) yang biasa disapa dengan Abu Tanoh Abee, merupakan Pimpinan Dayah (Pondok) Tgk Chiek Tanoh Abee, Seulimuen, Aceh Besar dan seorang besar di sana. Beliau meninggal dunia sekitar pukul 13.45 (WIB), Sabtu 18 November di Rumah Sakit Fakinah Kota Banda Aceh setelah beberapa tahun melawan penyakit jantung yang dideritainya.
Beliau merupakan ulama generasi kesembilan dari keturunan langsung Shaikh Fairus, yang mendirikan Dayah (pondok) Tanoh Abee pada tahun 1627 M. Shaikh Fairus sendiri adalah seorang ulama Sunni yang memiliki asal-usul dari Baghdad, dan menjadi pengembang Islam di Aceh melalui Tarekah Shattariyyah yang diajarkannya.
Kematiannya menjadi bahan berita TV dan akhbar di Indonesia sehingga dikhabarkan ratusan ribu manusia datang menziarahi jenazahnya.
Kata Umi (isteri Syaikh Abu Dahlan), sehingga hari ketujuh pemergian Abu, manusia belum putus-putus datang menziarahi dari seluruh Indonesia dan luar negara. Antara kisah masyhur yang diperkatakan mereka hingga kini ialah berlakunya gegaran kecil di bumi Aceh saat jenazahnya dimasukkan ke liang lahad sehingga selamat disemadikan.
Pesantrennya menjadi tempat kunjungan pelbagai pihak dari kebanyakan universiti di dunia. Mereka datang untuk kajian terhadap manuskrip-manuskrip (kitab-kitab lama) yang berada dalam perpustakaan Tanoh Abee yang tiada diperolehi di tempat-tempat lain kerana dicuri dan dimusnahkan oleh pihak Belanda waktu penjajahan dahulu.
Malahan, akibat tsunami yang melanda pada 24 Disember 2004 yang memusnahkan beberapa lembaga penyimpan dokumen bersejarah Aceh, maka semakin ramai yang datang berkunjung ke tempat beliau untuk tujuan pengkajian dan sebagainya. Jumlah naskah koleksi di Dayah Tanoh Abee ini dianggap sebagai yang terbesar di Asia Tenggara untuk kategori koleksi lembaga tradisional semacam Dayah ini.
Selama puluhan tahun Abu menjadi semacam “khadam” yang menjaga dan merawat tidak kurang dari 3,500 teks-teks klasik keagamaan dalam bentuk manuskrip. Kecintaan Abu pada ilmu membuatkan dirinya seringkali terkurung dalam bilik perpustakaan bawah tanahnya dalam masa yang lama untuk menyusun kembali helaian-helaian manuskrip yang telah tercabut, disamping memulihara keadaan kitab-kitab tersebut.
Semoga Allah menempatkan Abu di kalangan para kekasihNya.
Al-Fatihah.
Info tambahan :
- Terdapat juga laporan dalam Al-Jazeera tentang kematian Abu serta berlakunya gempa bumi ketika saat kematian dan pengebumian jenazah. Ini disahkan sendiri beberapa pihak dari Malaysia yang menziarahi almarhum. Walllahu ‘alam
- Almarhum Abu juga dikenali kerana telah berjaya menyusun semula 9,000 naskah manuskrip dari kurun ke 16 yang terlonggok di zawiyah beliau.
- Almarhum pernah diminta oleh Bahagian Sejarah Negeri Melaka untuk mengesahkan maqam Syaikh Syamsuddin al-Sumatrani di Kg. Ketek, Melaka.
- Almarhum juga pernah ditemuramah dalam rancangan Jejak Rasul TV3.
Berita rujukan:
- Aceh Online - in-memoriam-abu-tanoh-abee-sang-pewaris-naskah-aceh.html
- Serambi Indonesia - Abu Tanoh Abee meninggal dunia
al faqir Tokku