Khamis, Mei 13, 2010

Sains Alamiah dan Hukum KeTuhanan - Bahagian 3/3

JALAN MENCAPAI TAUHID AHLI BADAR

Menurut Walidku, pembinaan tauhid perlu bermula dengan mempelajari tauhid usuluddin yang dikenali sebagai pelajaran sifat 20 di alam Nusantara. Dengan memahami i'tiqad dalam mazhab 'Asya'irah atau Maturidiah ini, asas kefahaman kita tentang aqidah akan terselamat dari fahaman yang menyeleweng. Cukup dengan pelajaran yang agak ringkas ini utuk menjadi benteng dalam menghadapi selitan-selitan racun iblis. Fahaman Muktazilah yang pernah diranapkan oleh Al Imam Al Ghazali rahimahullah dengan tersungkurnya dan bertaubatnya Al Zamakhsyari mula menampakkan kewujudan semula. Aliran pemikiran Aminah Wadud yang cuba memahami Islam melalui daya intelek yang tiada disiplin ilmiah adalah amat mirip dengan faham muktazilah. Bunga-bunga fahaman ini juga boleh dilihat dalam bicara yang mempertikai atau mempersoalkan khazanah thurath. Mengambil fahaman asas aqidah lewat bicara sifat 20 adalah jalan yang selamat dari kegelinciran faham, praktik atau adab sebagai seorang mukmin.

Menurut Syaikh Abdul Qadir Isa rahimahullah dalam kitabnya Haqaiq Tasawuf, pelajaran tauhid usuluddin adalah muqaddimah kepada aqidah. Kenyataan ini memberi jawapan yang tepat kenapa dengan sifat 20 kita masih lemah dan terjajah. Sehingga ada yang memperkecilkan peranan usuluddin dalam membina ummah yang kuat pemimpin dunia. Syaikhuna mendidik kami supaya tidak terlekat dengan iktiqad aqliyyah usuluddin. Pendekatan yang dibawa adalah selari dengan uslub pendidikan dalam ayat ke 2 suratul Jumu'ah.

“Dia lah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (Iman), dan membersihkan mereka (Ihsan), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Islam) dan Hikmah (kebijaksanaan). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu dalam kesesatan yang nyata" (Al-Jum'ah: 2)

Kami diasuh supaya menjalani pendidikan tauhid melalui fasa amal menyucikan batin daripada segala aghyar. Kami ditalqinkan zikir yang sampai sanadnya kepada Baginda Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalam yang menjadi wasilah untuk mencapai hakikat Ihsan yang disebut hadis masyhur petikan Imam Nawawi rahimahullah dalam kitab Matan Arba'in (Hadis 40). Saidina Jibril (a.s) bertanya dan dijawab Saidina wanabiyyina Muhammad sallaLlahu 'alaihi wassalam, bahawa ihsan itu adalah "kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak melihat Allah, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." (Riwayat Muslim)

Bicara tauhid guru kami membuka rahsia kitab Hikam yang disyarah oleh Tokku Pulau Manis. Kami menyelusuri pegangan, adab akhlak, pandangan mata hati, rahsia alam serta diri dan sirr Ilahiyah dalam memahami kalimah tauhid secara halus. Tauhid yang membincangkan hal-hal yang mendalam begini membawa kami memahami bagaimana generasi yang berada di bawah dagu Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam menjadi kaum yang sebegitu hebat dan berjaya memimpin dunia kepada cahaya kecemerlangan dunia akhirat. Mereka telah menakluk dunia dengan kesucian tauhid yang telah menghasilkan kekuatan dalam kehalusan kemanusiaan.

Wallahu 'alam.
 
Al Faqir, Abi Ahmad

Rujuk tulisan sebelum ini :