Rabu, Mei 26, 2010

Tok Ghani Blues Gang 1 - Temui Cahaya di Hujung Terowong

 
Tok Ghani (kanan sekali) bersama
kumpulan Blues Gang
Tok Ghani Blues Gang atau nama sebenarnya Abd. Ghani Dato' Abu Talib merupakan bekas pemain gitar kedua (keyboard) kumpulan Blues Gang. Kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif sekitar 70an dan 80an ini terkenal dalam mengenengahkan irama 'blues dan rock' yang segar dengan memasukkan unsur-unsur Malaysia dalam setiap lagu mereka. Antara lagu yang top ialah Apo Nak Di Kato yang menggunakan bahasa loghat Negeri Sembilan. Di zaman kegemilangannya, kumpulan ini berjaya menerbitkan hampir 10 buah album dan berlakon beberapa buah filem.

Kini, walaupun ahli kumpulan ini yang dianggotai 5 orang telah berpecah, namun ahli-ahlinya masih lagi aktif di kelab-kelab malam di sekitar ibu kota. Kadang-kadang mereka bergabung semula untuk menjayakan persembahan-persembahan jemputan.

Pertemuan Pertama

Suatu masa sekitar bulan Jun 2009, sahabat saya Ustaz Badrul membawa Tok Ghani menziarahi saya di zawiyah. Orangnya sudah agak berumur namun masih kelihatan segak dan bergaya dengan memakai topi, rantai leher yang besar dan gelang tangan.

Selepas bersalam, beliau kelihatan sebak, matanya kemerahan. Tok Ghani kemudian berkata, kedatangannya menziarahi saya adalah kerana mahu memohon nasihat. Beliau seakan sedang mencari-cari sesuatu dalam hidupnya dan bagaikan memendam banyak persoalan yang perlukan jawapan.

Saya mengingatkan Tok Ghani agar jangan terlena dengan kehidupan yang kelihatan indah dan mempesonakan ini, hingga terlupa hakikat diri sebagai hambaNya yang dhaif. Kita dizahirkan ke dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah dan nanti akan kembali kepadaNya. Saya bacakan kepada beliau beberapa ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw yang menggambarkan hakikat dunia dan perjalanan hidup manusia.

Mereka yang mengikut bisikan syaitan dan nafsu ammarah sebenarnya masuk ke dalam kegelapan (dzulmat) dan hidup dalam dunia ilusi. Segala bisikan kepada sifat sombong, dengki, dendam, tamak, cinta dunia, kemasyhuran, pangkat, harta dan kemewahan, itu semuanya adalah ilusi, bagaikan mimpi.

Adapun mereka yang hidup bermatlamatkan Allah, Rasul, Akhirat dan menjadikan setiap detiknya sebagai ibadah, mereka itulah sebenarnya berada dalam dunia realiti, berada dalam Nur yang akan menyuluh hakikat sesuatu hingga ia terselamat dari silauan dunia, hawa nafsu dan syaitan.

Saidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata: “Kamu semua adalah tidur dan sedang bermimpi, dan bila kamu mati nanti baru kamu tersedar!”
Selepas tekun mendengar nasihat saya itu, Tok Ghani bertanya, bagaimana untuk beliau melepaskan diri dari belenggu kehidupan yang lalai itu, lebih-lebih lagi sumber rezekinya adalah dengan menyanyi di kelab-kelab malam.
Tok Ghani (bermain gitar) dalam satu persembahan
bersama temannya
Saya lantas memegang tangannya dan mengatakan, jawapan kepada persoalan itu ada dalam dirinya. Ini kerana segala kebenaran adalah fitrah setiap insan dan setiap insan wajib membukanya melalui jalan istighfar (taubat), selawat dan zikir.

Dengan penuh tawadhu Tok Ghani memohon agar saya membimbingnya, ia mahu meninggalkan kehidupan yang melalaikan itu. Saya katakan, diluar sana ramai lagi mereka yang berkemampuan untuk membimbingnya, saya tiada layak. Namun, setelah berkali-kali beliau menyatakan hasratnya itu, dan melahirkan kebimbangan andai beliau tidak punya waktu lagi untuk bertaubat, maka saya ijazahkan beberapa aurad atau wirid-wirid umum untuk diamalkan.

Saya juga sarankan Tok Ghani agar mengikuti kuliah-kuliah ilmu di tempatnya untuk menambahkan lagi kefahaman tentang Ad-Deen. Adapun untuk mendalami lagi ilmu tarekah, hakikat dan makrifat, saya syorkan beliau mencari guru-guru lain di luar sana yang ahli dalam bidang keilmuan tersebut. Semoga usaha beliau mencari mursyid atau guru pembimbing itu dimudahkan Allah SWT.
Pertikaian Kaedah

Ada seorang sahabat dari aliran pondok, yang apabila mengetahui Tok Ghani ada menziarahi dan menerima amalan dari saya, datang bertemu. Dia mempersoalkan kenapa saya tidak menyuruh Tok Ghani membuang terlebih dahulu rantai dan gelang yang dipakainya, dan menyuruhnya berhenti dari menyanyi di kelab-kelab malam sebelum memberi amalan atau mendidiknya?
Saya jelaskan bahawa jalan pendidikan untuk membawa manusia kembali kepada agama itu sangat luas. Bahkan di sana adanya kaedah Fiqh Awlawiyyat (keutamaan), Fiqh Sirah, Fiqh Haraki, Fiqh Mu’asyarah (semasa) dan Fiqh Dakwah sebagai petunjuk untuk pendakwah. Tidak wajar kita terikat dengan satu-satu method sahaja dan beranggapan itu sahaja jalannya. Walau apapun, saya katakan jalannya betul dan beliau perlu juga menghormati jalan yang saya ambil kerana ada hujah-hujah tersendiri.

Pada saya, segala kemaksiatan zahir itu berpunca daripada kemaksiatan hatinya yang tiada kesedaran fitrah keTuhanan dan kehambaan. Insya Allah, dengan istighfar, selawat dan zikir yang mempunyai talian sanad dengan Rasulullah saw, ia akan mendatangkan kekuatan dan barakah dalam membuka kesedaran fitrah yang terpendam. Ini adalah ikhtiar saya pada hukum adat, adapun selebihnya diserahkan kepada Allah.
Perubahan

Selepas 3 bulan, Tok Ghani datang menziarahi saya buat kali kedua. Saya melihat banyak perubahan pada dirinya. Tiada lagi rantai dan gelang yang dipakainya sebelum ini. Katanya, jiwanya amat tenang kini, dapat beribadah pada Allah dengan rasa nikmat serta akan gelisah jiwanya bila melakukan dosa. Ia suatu perasaan jiwa yang tidak pernah ia kecapi sebelumnya.

Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah dengan barakah salasilah amalan yang diberikan, Allah memperkenankan doa kami.

Harapan

Tok Ghani kemudian bertanya apakah sumbangan yang dia boleh berikan untuk bersama-sama menjayakan manhaj dakwah saya?

Saya nyatakan kegelisahan jiwa saya melihat anak-anak bangsa, saudara-saudara seagama yang tenggelam dalam keasyikan muzik dan hiburan Barat, sedangkan ia tiada memberi manfaat sedikitpun. Malah kebanyakannya merosakkan jiwa, akal dan akhlak.
Tok Ghani (tengah), ustaz Zul (Visa - kiri) dan seorang
teman ketika membuat persembahan pada
Malam Kesenian Islam di Dewan Konvensyen
Taman Tamadun Islam, K. Terengganu pada
27 Julai 2009 anjuran IPTAF

Untuk menukar mereka secara drastik kepada manusia yang asyik dengan ibadah, zikir dan al-Quran adalah amat sukar, kerana halangan dalam batin mereka terlalu kuat dengan simpulan nafsu. Simpulan tersebut wajib dibuka secara perlahan-lahan agar jiwanya tidak memberontak.

Bertitik tolak dari itu, saya nyatakan harapan agar Tok Ghani dan teman-teman beliau yang sealiran (berada dalam dunia muzik dan hiburan) agar dapat menyelamatkan masyarakat ini yang memuja muzik dan hiburan Barat kepada aliran muzik Islam, melalui senikata-senikata yang dapat membangkitkan kesedaran fitrah keTuhanan dan kehambaan serta menanamkan kasih sayang sesama insan.

Lalu Tok Ghani maklumkan bahawa beliau pernah membuat persembahan bersama Ito Blues Gang di Pusat Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, Gombak suatu masa dulu. Namun ketika itu mereka tiada matlamat khususnya, hanya sekadar menyanyi dan bermain muzik untuk memberi hiburan semata-mata.

Saya menjelaskan, seseorang penyanyi yang mahu membawa kesedaran kepada orang lain mestilah ia bermula dari kesedaran jiwanya terlebih dahulu. Justeru ada perbezaan ‘getaran atau aura’ yang dirasakan hatta mendengar nasyid sekalipun kerana ia bergantung kepada sama ada penyanyi itu memiliki kesedaran jiwa atau tidak.



“Tenggelamkan lagi diri Tok dalam perasaan kehambaan kepada Allah, hingga merasa lebur dalam keEsaan dan Kebesaran Illahi serta tiada lupa untuk sentiasa berselawat ke atas Rasulullah saw sebagai pembawa rahmat ke sekelian alam. Insya Allah, nanti Tok akan memahami hakikat ini dan getaran cinta dari jiwa Tok akan meresap ke jiwa para pendengarnya!” Begitulah lebih kurang pesanan saya pada beliau.
Selepas beberapa bulan kemudiannya, saya mendengar Tok Ghani telah berhenti bekerja di kelab- kelab malam dan hanya menyanyi di majlis-majlis kahwin dan keramaian sahaja. Beliau dan teman-temannya kini sedang menumpukan kepada latihan untuk menerbitkan album yang berkonsepkan keTuhanan tapi masih mengekalkan muzik blues & rock yang diolah semula.

Hanya kesyukuran kupanjatkan kepadaMu ya Allah, Engkaulah Yang Maha Memberi Hidayah kepada hamba-hamba yang Engkau kehendaki!