Jumaat, Mei 14, 2010

Khabar Sedih Merenggut Jiwaku 2 - Kembalinya Abuya Ashaari Muhammad

Abuya Ashaari Muhammad

Khabar sedih yang kedua ialah kembalinya ke rahmatuLlah Abuya Ashaari Muhammad. Beliau meninggal dunia di di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru. Beliau meninggal dalam usia 73 tahun.

Saya tidak pernah bertemu Abuya Ashaari secara berdepan, hanya dapat berkenalan melalui para muridnya dan membaca buku-bukunya. Saya mengkagumi kehebatan tarbiyah dan siasah dakwahnya. Method dakwahnya berkembang ke merata dunia dan beliau menjadi pemimpin kepada semua bangsa ketika itu.

Sayangnya usaha dan kehebatan yang ada pada dirinya tidak mendapat dukungan di kalangan bangsa dan saudara seagama sendiri. Pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan kepadanya bagaikan peristiwa fitnah pada Hang Nadim berulang kembali.

Perpecahan di kalangan ahli jemaah Al-Arqam dan serangan dari bekas pemimpin yang rapat dengannya sedikit sebanyak mencacatkan pandangan masyarakat umum padanya.

Tidak semua perkara saya setuju dengannya dan tidak semua perkara saya tidak bersetuju dengannya. Walau apapun mungkin beliau mempunyai hujah-hujah tertentu dalam setiap aspek tindakannya yang tiada diketahui oleh kita semua. Apa yang kita tak setuju tidak semestinya tidak benar dan apa yang kita setuju tidak semestinya benar.

Namun perjuangan Abuya Ashaari dalam membangunkan sistem Islam kepada masyarakat dengan menggabungkan aspek kerohanian dan kemajuan kebendaan adalah sesuatu yang perlu diteruskan. Jemaahnya memperjuangkan cara hidup Islam dalam semua aspek sehingga keindahan dan kesyumulan Islam dapat dilihat hatta oleh masyarakat non-Muslim.

Masyarakat juga banyak mendapat manfaat daripada perjuangan ekonominya dalam menunaikan fardhu kifayah. Kejayaannya mewujudkan perkampungan Islam di Sungai Pencala sebagai model masyarakat Islam yang syumul suatu waktu dulu amat mengkagumkan. Walaupun ramai dari kalangan bekas pemimpin Arqam yang keluar daripadanya cuba mewujudkan perkampungan Islam seumpama itu, namun mereka menemui kegagalan.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mewartakan kesesatan Al-Arqam pada tahun 1994 atas hujah-hujah tertentu. Namun fatwa tersebut tidak sepenuhnya diterima masyarakat umum.

Saya teringat ketika saya bersama al-Marhum Dato’ Ishak Baharum (bekas Mufti Selangor dan AJK Majlis Syura Ulama’ PAS) dalam ekspedisi dakwah ke Hulu Tembeling, Pahang satu ketika dulu. Saya pernah bertanya soalan tentang pegangan Arqam kepada al-Marhum.

Dato’ mengatakan, “apa jua yang dibuat oleh kerajaan ke atas sesuatu badan atau individu, keutamaannya adalah berkait dengan isu politik. Walaupun kesalahan itu mungkin ada, tetapi itu bukan punca sebenar kenapa tindakan diambil.”

Kata Dato’ lagi, “jika ia bukan isu politik, Kerajaan Pusat tidak akan serius menanganinya walaupun Badan Berkuasa Agama menfatwakan ia sesat sekalipun”. Itulah pandangan peribadi al-Marhum tanpa menjawab soalan saya adakah pegangan Arqam benar-benar menyeleweng atau tidak.

Saya bukannya mahu mempertikaikan fatwa tersebut malah mengakui adanya kesalahan yang dilakukan Al-Arqam, namun pada saya tidak wajar tindakan yang diambil itu sampai meruntuhkan aspek-aspek positif yang lain. Kesalahan-kesalahan mereka wajar diperbetulkan dengan cara yang sebaiknya dan berhikmah tanpa perlu meruntuhkan institusi jemaah yang tidak boleh dinafikan banyak memberi kebaikan pada Islam dan orang Melayu sendiri.

Dalam masa yang sama, kenapa kita boleh berlembut dan bertolak ansur dengan pergerakan bangsa-bangsa dan agama lain tetapi bersifat keras dan tiada tolak ansur dengan saudara sebangsa dan seagama sendiri? Saya tiada jawaban bagi masalah ini, namun pada pandangan saya ianya membawa kerugian kepada agama dan bangsa Melayu itu sendiri. Tetapi mungkin bagi pihak kerajaan mereka ada sebab yang kuat untuk melakukannya. Wallahu ‘alam.

Saya menyeru diri saya, para sahabat dan muhibbin sekelian agar menahan lisan daripada mudah terheret dalam hukum menyesatkan saudara kita. Ini kerana ianya tiada memberi faedah, malah menjadi beban yang besar di akhirat nanti dalam menjawab setiap tuduhan yang kita lemparkan kepada pihak berkenaan di hadapan Allah nanti.
Apapun bagi saya, Abuya Ashaari Muhammad dan Habib Ali Al-Aydrus adalah Mukmin yang begitu banyak jasanya pada negara dan anak bangsanya dalam mendidik manusia kepada Islam. Kemasyhuran mereka dikenali di seluruh dunia walaupn di buminya sendiri ia mungkin kurang dihargai.

Bumi ini menangis dengan perginya kedua insan ini yang hidup mereka benar-benar diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan Rasul. Ibarat terpadamnya cahaya dua bintang yang bersinar cerah di langit malam. Ia adalah musibah buat umat ini apabila kekasihNya satu persatu kembali kepadaNya.

Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam bersabda :
"Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim. [Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi]
Ya Allah, tempatlah mereka dalam golongan kekasihMu yang mendapat kemuliaan di sisiMu.

Kepada para sahabat dan muhibbinku, hadiahkan Al-Fatihah dan bacaan tahlil beberapa hari kepada dua ulama ini sebagai menghargai dan mencintai mereka.

Al-Fatihah.

Pautan lain :