Jumaat, Mei 14, 2010

Khabar Sedih Merenggut Jiwaku 1 - Kembalinya Habib Ali Al-Aydrus

Hari ini (Khamis, 13 Mei 2010) tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya ketika para sahabatku sibuk membaiki madrasah, sedangkan sudah agak lama tempat ini tidak disirami air barakah langit. Walaupun agak lebat namun ianya tidak lama,hanya seketika saja. Aku merasakan bagai ada isyarat tertentu dari langit kepada penduduk bumi.

Terdetik dalam hatiku, mungkin ada para kekasihNya yang kembali ke hadratNya hari ini. Tiba-tiba aku menerima khabar sedih dua ulama sufi dan kekasih Allah meninggal dunia dalam waktu yang sama dengan turunnya hujan tersebut.

Khabar sedih tersebut benar-benar merenggut perasaanku dan membuatkan aku termenung seraya membaca Al-Fatehah untuk mereka.

Habib Ali Batu Pahat

Yang pertama ialah al-'Arifbillah al-Habib Ali bin Ja'far bin Ahmad bin 'Abdul Qadir al-Aydrus telah kembali kerahmatuLlah pada jam lebih kurang 5.10 petang. Almarhum lebih dikenali dengan Habib Ali Batu Pahat, Johor. Meninggal pada usia lebih kurang 97 tahun.

Habib Ali seorang ulama sufi yang masyhur di seluruh dunia. Boleh dikatakan tiada ulama sufi dari apa jua aliran tarekahnya atau Habaib dari pelbagai pelusuk dunia yang menziarahi Malaysia melainkan akan menziarahi Habib Ali di kediaman sewanya di Batu Pahat, Johor.

Habib Ali seorang ulama yang hidup dengan amat zuhud dan sentiasa berkhalwah. Almarhum hanya menerima tetamu selepas asar sahaja disebabkan keuzuran dan hal ahwal dirinya. Jika ada ulama yang besar sekalipun datang selain waktu tersebut, maka tiada akan ditemuinya.

Saya sempat menziarahinya beberapa kali dan menatap wajahnya yang penuh dengan cahaya. Orangnya lucu dan suka menjamu tetamu yang datang. Ramai ulama yang datang dengan tujuan untuk menyambung pertalian rohani dengannya dan dan ada yang menjadikan beliau sebagai tawassul dalam doa-doa mereka.

Banyak cerita keganjilan dan karamahnya yang disampaikan pada saya. Namun kebanyakan orang yang menceritakan hal itu menyuruh saya menyimpannya. Justeru tidak banyak yang dapat dicatatkan di sini kerana ianya menjadi rahsia yang terpendam yang hanya golongan tertentu sahaja memahaminya.

Al-Marhum Abuya Syed Muhammad Alwi Al-Maliki yang terkenal itu juga sentiasa menziarahi Habib Ali jika datang ke Malaysia. Seolah-olah ada agenda penting antara mereka berdua kerana tiada siapa boleh bersama dalam perbincangan antara mereka.