Tuan Guruku, Syaikh Imam Ibrahim bin Ngah telah pulang ke rahmatullah pada Isnin, 5 Oktober 2009 di rumahnya di Kg Beladau Kolam, Kuala Terengganu. Walaupun lebih setengah tahun telah berlalu, namun pemergiannya itu masih merenggut jiwaku dengan kasih sayangnya. Darinya aku mendapat sambungan ijazah sanad Tarekah Syathariyyah jalur Syaikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) dan beliau mengamanahkan aku untuk memba’iahkan kepada orang-orang lain.
Aku mendapat kasih sayang seorang ayah darinya. Tuan Guru dihormati masyarakat setempat kerana kealimannya dan disebabkan juga beliau murid kanan kepada ulama masyhur di situ iaitu Tuan Guru Hj Nih Musa, keturunan Tok Pulau Manis yang ke-8.
Tuan Guruku amat kuat menyokong perjuangan PAS dan memegang beberapa jawatan sama ada di peringkat kawasan dan cawangan. Setiap kali selesai majlis ilmu dengannya, perbincangan topik politik akan mengambil tempat kerana itulah kegemarannya. Bahkan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang (Presiden PAS) digantung dalam bilik tidurnya kerana beliau amat mencintai perjuangan mereka.
Datuk Hj. Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat) juga sentiasa menziarahinya sewaktu hayatnya bagi membincangkan masalah ilmu dan isu-isu politik tempatan. Kelantangannya dalam memperjuangkan Islam dalam wadah Pas tidak disenangi oleh masyarakat setempat dan saudara maranya sehingga jawatan Imam masjid telah ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Agama atas aduan-aduan pihak terbabit. Namun pada masa yang sama, Tuan Guru juga menjadi pilihan mereka sebagai Imam jika ada kematian dan menyembelih lembu jika ada kenduri.
Tuan Guru hidup dengan kitab, zikir dan perjuangan. Wajahnya sentiasa senyum redha dalam kesakitan dengan pelbagai penyakit hingga ke akhir hayatnya.
Beberapa bulan sebelum Tuan Guru meninggal, al-marhum tidak membenarkan aku keluar negara kerana faktor kesihatannya yang tidak begitu stabil. Kecintaanku padanya membuat aku akur dengan permintaan tersebut sehingga Tuan Guru meninggal. Kulihat saat itu wajahnya penuh dengan penuh cahaya ketenangan.
Almarhum sedang asyik mendengar qasidah yang disampaikan anak-anak Ribath Syeikh Abd Malik di rumahnya suatu ketika dahulu |
Berita pemergian Tuan Guru tersebar dengan cepat. Berbondong-bondong manusia datang dari pelbagai tempat, dalam dan luar Terengganu. Hinggakan ketika solat jenazahnya di rumah, kayu galang di bahagian tengah rumahnya patah disebabkan ramainya orang untuk menyembahyangkan jenazah Tuan Guru. Akhirnya solat jenazah terpaksa disambung lagi di Masjid Beladau Kolam kerana masih ramai yang menunggu giliran untuk bersolat jenazah.
Semoga tenanglah diri Tuan Guru bersemadi dengan ruh jihad yang dicintainya sepanjang hayatnya.
Al-Fatihah.
al faqir Tokku
al faqir Tokku