Khamis, Mei 20, 2010

Latar Penubuhan Pendidikan Ribath - Bhgn. 2/2

Di atas kesedaran pentingnya pendidikan dalam menentukan hala tuju satu-satu bangsa, saya mengambil keputusan menubuhkan RIBATH di bawah Koperasi Nur Ihsan Terengganu Berhad. Ia sebagai satu wadah untuk mendidik anak bangsa melalui kesepaduan Ad-Deen dan Al-Hikmah.

Saya tidak mahu terapkan manhaj ini pada para sahabat dalam ITMAM kerana berpendapat pondok sudah hebat dan mempunyai manhaj serta budaya tersendiri dalam pendidikan mereka. Para murid yang benar-benar dahagakan ilmu akan berjaya memiliki keilmuan sehingga menjadi alim.

Sistem pendidikan Ribath ini berteraskan Ahlu Sunnah wal Jamaah melalui praktikal Ad-Deen dan Al-Hikmah. Iman, Islam dan Ihsan disepadukan dalam jiwa anak-anak dan memiliki Al-Hikmah (kebijaksanaan) dalam urusan ilmu dunia.

Sistem ini bukan bertujuan melahirkan murid yang menentang atau lari dari kemajuan dunia, tetapi mereka yang mampu mengendalikan dan memimpin kemajuan dengan Ad-Deen dan kebijaksanaan. Method pendidikan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam sepertimana yang ditunjukkan dalam ayat 2 surah al-Juma'ah membuktikan kejayaan Baginda dalam melakukan transformasi umat jahiliyyah kepada umat yang hebat.

Justeru, method pendidikan ini dijadikan teras utama pendidikan Ribath mengikut tahap berikut :
  • Tahap 1 : Iman Ilmu
  • Tahap 2 : Iman Ihsan pada jiwa
  • Tahap 3 : Kemantapan Ilmu Syariat
  • Tahap 4 : Kemantapan Ilmu Al-Hikmah (kebijaksanaan dalam ilmu dan pengurusan dunia)
Alhamdulillah, ramai di kalangan muhibbin menghantar anak-anak mereka ke Ribath untuk dididik. Walaupun mereka tahu keadaan Ribath yang agak dhaif dengan kekurangan kemudahan dan lainnya, namun mereka memahaminya demi demi mendukung impian saya.

Pada peringkat awalnya, kemasukan pelajar dihadkan kepada 20 orang sahaja. Namun, permohonan yang diterima di luar jangkaan menyebabkan banyak yang terpaksa ditolak. Ini kerana pihak kami tidak mempunyai tempat yang cukup dan masalah tenaga yang terhad.
Dalam pada itu, temuduga juga diadakan untuk memilih murid yang benar-benar menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Saya tidak mahu ribath dijadikan tempat ‘pembuangan’ anak-anak yang bermasalah. Namun begitu, kerana kasihan pada sahabat, ada juga yang diterima walaupun tiada menepati piawai yang ditetapkan.

Usia anak-anak yang diterima masuk ke Ribath (Rendah) bermula 9 -12 tahun. Penekanan utamanya adalah membina kesedaran dan penghayatan kepada 6 rukun iman dan akhlak. Adapun dalam pengajian ilmu, penekanan adalah fardhu ain, pandai membaca menulis jawi dan rumi serta membaca Al-Quran. Manakala, pembentukan iman dan akhlak dibuat melalui latihan praktikal dan kesenian.

Ruang masa tertentu turut diberikan kepada mereka untuk bebas bermain agar fitrah kanak-kanak diraikan. Ia juga bertujuan membina ketahanan jiwa, lasak tubuh badannya, melatih berdikari, kreatif dan suburkan sifat kasih sayang. Aktiviti rehlah dan perkhemahan juga diadakan pada masa-masa tertentu untuk menguatkan lagi proses pembinaan aspek-aspek ini.

Apabila dilihat sudah ada peningkatan dari sudut akhlak dan keimanan serta penguasaan dalam ilmu fardhu ain, mereka akan dimasukkan ke Ribath Peralihan. Di ribath peralihan ini, aspek pembinaan iman dan akhlak ditingkatkan lagi dan diberi penekanan yang lebih. Anak-anak ini juga digilap potensi kepimpinan mereka dan dilatih bekerja secara berkumpulan. Hafalan matan tauhid dan nahu serta asas perbualan Arab juga dipelajari mereka.

Apabila usia mereka mencecah 13 tahun, mereka akan dimasukkan ke Ribath Menengah dimana bermulanya penekanan kepada marhalah ilmu. Mereka akan mengikut silibus yang disusun (berdasarkan sistem pengajian dalam dan luar negara) dengan penekanan kepada penguasaan Ilmu Alat dan kitab Arab selama 5 tahun.

Pada usia 18 tahun, mereka akan menyambung pengajian sama ada di dalam atau di luar negara untuk mengambil takhassus (pengkhususan) dalam bidang ilmu yang dikehendaki sama ada dalam jurusan agama atau dunia atau memiliki kedua-duanya sekali, sehingga mencapai tahap pakar dalam bidang tersebut.

Apabila tamat pengajian takhassus itu, mereka akan disusun pada posisi yang boleh memberi manfaat bagi ummah dan negara mengikut kebolehan dan kepakaran yang ada pada mereka.

Inilah hasrat saya dan kepada Allah jua saya bertawakkal!

Saya bercita-cita mahu membina puluhan ribath lagi agar dapat melahirkan ramai generasi akan datang yang memiliki kesepaduan Ilmu Ad-Deen dan Al-Hikmah. Merekalah generasi perubah zaman yang memiliki keilmun fekah yang luas, keimanan yang mantap, berjiwa sufi dan memiliki al-hikmah dalam memacu kemajuan dunia berpaksikan ruh agama.
Saya pernah menziarahi Kiyai Haji Ahmad Muzzakir Syah, seorang ulama Jawa yang mempunyai ratusan ribu pengikut di sana. Beliau pernah bertanya kepada saya, “Untuk apa kamu anak merantau ke seluruh rantau ini?”. Saya menjawab, “Impian saya ialah mahu membina kesatuan rantau ini dengan jiwa agama dalam memandu kemajuan dan modenisasi dunia, agar rantau ini tidak hancur kemanusiaannya sebagaimana kemajuan Barat yang menghancurkan nilai-nilai insaniah.”

Kiyai terus memeluk dan mendoakan saya serta mengatakan jalan yang saya ambil ini agak sukar dan banyak liku-likunya, namun beliau dengan penuh semangat menyatakan, Anakku, walau pun rintangannya, marilah sama-sama kita berjuang demi cita-cita tersebut!”.

Dalam ziarah dan pertemuan dengan beberapa syaikh dan ulama khususnya di Nusantara ini, kebanyakan mereka juga menjadikan perkara ini sebagai asas dalam perjuangan dan dakwah mereka, iaitu membina kesatuan dan menyuburkan jiwa agama kepada ummah agar teguh dengan jatidiri mukmin dalam menghadapi arus pemodenan dan globalisasi dunia masa kini.

Kemajuan dan modenisasi dunia yang pesat akan merebak ke Asean dan Malaysia juga akan mengalami perubahan besar dalam arus tersebut. Namun yang amat dibimbangkan kemajuan ini akan menyumbang kepada semakin suburnya kapitalis, kehancuran agama, kehancuran budaya bangsa, kehancuran institusi keluarga, kehancuran anak-anak muda dan paling dibimbangi merempat dan mengemisnya anak bangsa di tanahair sendiri.

Justeru itu saya mahu membina generasi yang mempunyai spiritual yang kuat untuk meniupkan ruh Ad-Deen dan memiliki Al-Hikmah. Mereka tidak dikuasai emosi, berfikiran jumud, anti pemodenan, larut dengan pertelingkahan khilafiah, perkara maqamat dan asrar (rahsia-rahsia) tanpa memperdulikan tuntutan masyarakat dan zaman.
Menjadi kewajipan untuk kita bebaskan ummah ini dari belenggu penjajah sama ada pada jiwa, fikiran dan budaya. Dunia sudah menyaksikan tamadun kebendaan Barat tanpa agama membawa kemusnahan kepada nilai-niai manusia. Jiwa mereka kekosongan walaupun perut dan akal mereka kekenyangan. Kesengsaraan jiwa berlaku dalam kehidupan di dunia ini lagi apabila mereka tiada berdiri di atas kesedaran fitrah keTuhanan dan Kehambaan dan kesengsaraan ini akan lebih dahsyat lagi pada kehidupan di akhirat nanti.

Seorang sahabat saya yang terlibat dalam dunia motivasi dan pembangunan insan pernah memberitahu saya bahawa di dunia hari ini, dalam setiap 40 saat seorang akan membunuh diri! Fakta ini katanya dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). (saya akan usahakan untuk dapatkan sumber rujukan beliau itu dan akan dikemaskini kemudian nanti insya Allah)

Bahkan beliau menceritakan juga mengenai “syurga dunia” yang terdapat di California, Amerika Syarikat dimana berjuta-juta orang dari seluruh dunia mengunjungi California untuk memenuhi kekosongan jiwa mereka dengan hiburan, arak, perempuan, judi dan sebagainya lagi. Namun, dalam masa ia dianggap sebagai “syurga dunia”, di tempat yang sama itulah juga menjadi antara tempat tertinggi di dunia orang membunuh diri! Mereka terjun dari jambatan “Golden Gate” yang terkenal itu. Dianggarkan lebih 5,000 orang telah membunuh diri di situ semenjak ia dibina pada tahun 1937. (http://en.wikipedia.org/wiki/Golden_Gate_Bridge ,  http://www.suicide.org/golden-gate-bridge-suicides.html)

Fakta sebegini menguatkan lagi tekad saya dan sahabat untuk merealisasikan cita-cita melahirkan generasi pemimpin ummah melalui pendidikan ribath ini. Walau kemampuan yang ada amat dhaif, namun harapan akan diserahkan pada anak-anak didikan ribath serta institusi pendidikan yang dibina oleh para sahabat yang lain di atas matlamat yang sama. Justeru itu saya mohon dukungan dan pengorbanan para sahabat. baik dari sudut fikiran, masa, tenaga, kewangan dan sebagainya untuk mencapai impian agar ummah ini kembali bertunjangkan agama dalam menongkah arus kemajuan dunia.

Kepada Allah jua kita bertawakal. Hamba yang dhaif ini hanya mampu merancang dan berusaha namun semuanya dalam genggaman kekuasaan diriMu Wahai Dzat Yang Maha Agung

al faqir Tokku