Ramai para sahabat saya yang menghadapi konflik dan bertanya pendirian saya dalam masalah politik kepartian. Ada di antara mereka mendapat larangan dari para Syaikh, Tuan Guru atau jemaah mereka untuk bersama-sama dengan satu parti politik, lebih-lebih lagi kini berlakunya aliran-aliran ilmu dalam parti tersebut yang amat bertentangan dengan prinsip-prinsip ilmu mereka. Bagi mereka, bersekongkol dengan parti tersebut bagaikan redha dengan pegangan kelompok dalam parti yang begitu hebat mencela aliran ilmu, amalan dan ulama-ulama mereka.
Persahabatan dan perguruan saya dengan para Syaikh, Tuan Guru dan ulama-ulama dari pelbagai golongan tiadalah menyebabkan saya sepenuhnya terikat dengan saranan atau kefahaman mereka. Saya amat menyintai dan memuliakan mereka, namun dalam masa yang sama adakalanya saya mempunyai pendirian yang berbeza dengan mereka. Soal mereka benar atau saya benar tiada timbul kerana mereka memberi pandangan berdasarkan pengamatan mereka dan saya juga mempunyai pandangan mengikut pengamatan saya.
Dalam soal politik kepartian, saya berpendapat bahawa sejarah ulama-ulama dahulu seperti Tok Pulau Manis, Tokku Paloh, Syaikh Duyung, Tok Kenali dan lainnya mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Mereka bertumpu ke istana disebabkan istana ketika itu adalah pusat kuasa dalam menentukan dasar perundangan dan pemerintahan.
Tuduhan Dr. Asri (bekas Mufti Perlis) dalam tulisan beliau "Cabaran Gerakan Pembaharuan" bahawa ulama dahulu berlindung di istana untuk menyekat aliran pembaharuan adalah satu andaian yang terlalu banyak sebab untuk dipertikaikan kebenarannya.
Dengan kesedaran politik yang ada pada mereka, mereka mewajibkan diri mereka berada bersama Sultan sebagai penasihat dalam menentukan hala tuju dasar pemerintahan agar berada pada prinsip-prinsip yang selaras tuntutan agama.
Perubahan Kuasa Pentadbiran
Hari ini kuasa yang berada di istana dahulu, telah berpindah kuasanya kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Segala dasar dan penggubalan rang undang-undang diluluskan oleh ketiga-tiga institusi tersebut.
Dewan Rakyat menjadi tempat penggubalan rang undang-undang peringkat pusat yang kemudiannya di bawa ke Dewan Negara untuk dikaji semula dan diluluskan. Kedua-dua dewan perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum akhirnya dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda. Manakala Dewan Undangan Negeri adalah tempat untuk meluluskan akta atau rang undang-undang yang melibatkan urusan pentadbiran peringkat negeri.
Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, para Exco, pegawai-pegawai kerajaan dan lainnya bertindak sebagai pelaksana dasar-dasar yang diputuskan oleh dewan-dewan tersebut.
Justeru itu, di atas kesedaran politik yang sama, para ulama dan para pencinta Islam kini menukar strategi untuk berada dalam dewan-dewan tersebut sebagai penasihat (saya setuju dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa istilah ‘penasihat’ lebih sesuai digunakan berbanding istilah ‘pembangkang’) dan bersama-sama mengambil peranan dalam pengubalan undang-undang agar undang-undang yang diluluskan itu berada pada prinsip syarak, adil dan memberi kebaikan kepada rakyat.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa dasar dan perundangan serta akta-akta yang wujud pada negara ini adalah warisan daripada penjajah yang dinamakan dengan Perundangan Lord Reid. Dasar ini diteruskan pula oleh parti pemerintah kini walaupun ianya ada percanggahan dengan syariah dan tiada relevan dengan tuntutan semasa. Maka di atas matlamat merombak dasar atau akta yang tidak syari’e, melanggar prinsip keadilan, kebebasan hak dan kemurnian akhlak, maka dakwah kepartian adalah diperlukan kerana dengannya sahaja prinsip-prinsip syarak, keadilan dan kerahmatan dapat ditegakkan.
Pada saya, dakwah kepartian juga bukanlah bermaksud untuk menjadi golongan penentang, memusuhi atau membenci sesiapa, lebih-lebih lagi saudara seagama, tetapi ia diperlukan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara seluruhnya.
Pada saya, dakwah kepartian juga bukanlah bermaksud untuk menjadi golongan penentang, memusuhi atau membenci sesiapa, lebih-lebih lagi saudara seagama, tetapi ia diperlukan untuk kebaikan agama, rakyat dan negara seluruhnya.
Sejarah perjuangan Syeikh Abdul Rahman Limbong (Tok Limbong) mencatatkan, hanya kerana menentang Akta Cukai Tanah yang dijalankan oleh pihak Inggeris kepada rakyat Terengganu ketika itu, Tok Limbong dan para muridnya bangun menentang sehingga ramai yang syahid. Maka adakah patut kita yang dibelenggu dengan pelbagai akta yang membebankan dan tiada Islamik hanya diam begitu sahaja?
Perjuangan Tok Limbong wajar diteruskan dengan pendekatan yang berbeza. Justeru itu saya menyatakan kepada para sahabat bahawa saya tiada melihat kaedah yang lebih baik dan harmoni untuk membetulkan keadaan ini melainkan berdakwah dan berjihad melalui sistem pilihanraya demi menjaga keharmonian negara.
Dalam Islam sendiri, selagi ada jalan aman maka wajib kita memilih jalan tersebut dalam apa jua tindakan yang ingin dilakukan. Dakwah tanpa kepartian hanya dapat menyelesaikan perkara-perkara dalam sudut pembinaan insan seperti masalah akidah, jiwa, ibadah, hukum dan lainnya, bahkan ia hanya bersifat individu atau jemaah. Ia bukannya penyelesaian dalam merubah struktur dasar negara yang masih bertunjang kepada perundangan penjajah dan menjadikan fahaman kebendaan sebagai dasar utama.
Agama dan Kuasa saling memerlukan demi kebaikan ummah. Dakwah tanpa kuasa bagaikan kebun tanaman yang tiada berpagar. Sejarah membuktikan bahawa keruntuhan agama dan sindrom buta Al-Quran berlaku di kalangan pelajar bermula apabila pelajaran agama tidak diwajibkan dalam peperiksaan serta penghapusan tulisan jawi oleh oleh menteri pelajaran ketika itu dan diluluskan oleh kabinetnya.
Selepas itu pelajaran agama menjadi subjek sampingan dan sekadar pelengkap bagi sistem pelajaran, maka lahirlah ramai pelajar yang tiada tahu agama. Kesan daripada kuasa seorang menteri, ia bagaikan meruntuh bangunan yang begitu lama dibina oleh para pendakwah terdahulu.