
Sesungguhnya Allah dalam penciptaanNya amat hebat. Akal dan nafsu manusia tiada mampu untuk dapat memahami semuanya. Mumkinat adalah wujud berada antara realiti dan ilusi. Mengatakan semua yang ada adalah ilusi juga tidak tepat, mengatakan semuanya realiti juga tidak tepat.
Kewujudan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam, para Nabi-Nabi a.s, Al-Quran, ibadah di alam ini adalah realiti, bukannya Ilusi. Justeru itu mereka yang hidup bermatlamat Allah, Rasul, akhirat dan menjadikan setiap detiknya sebagai ibadah adalah berada dalam dunia realiti. Maka ia diistilah NUR iaitu realiti.
Adapun kehidupan yang mengikut bisikan syaitan dan nafsu ammarah adalah dzulumat yakni Ilusi. Segala bisikan kepada takbur, riak, dengki, dendam, tamak, cinta pangkat, harta, anak pinak, kenderaan, kediaman atau lainnya adalah adalah dunia Ilusi.
Segala yang dikejarnya adalah Ilusi atau bayang-bayang sahaja yang tiada hakikat. Semuanya akan hancur di hadapan mata hati mereka apabila dibukakan kasyaf kebenaran ketika dalam menghadapi sakaratul maut.

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian jika terus hidup bermatlamat mencapai Ilusi yakni dunia, sedangkan dunia hanyalah Illusi sebagai ujian bagi hambaNya, siapakah yang bersyukur dan siapa yang kufur. Mereka yang benar dalam mengikut seruan Nabi-Nabi a.s akan terlepas daripada dunia Illusi kepada dunia kebenaran.
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-‘Asr: 1-3)