“… Syukurilah nikmat Allah, jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya.” (An-Nahl: 114)
Wahai para sahabat dan muhibbinku yang dikasihi,
Tiadalah nikmat yang paling besar untuk disyukuri melainkan nikmat kewujudan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang membawa kerahmatan ke seluruh pelusuk alam.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 107)
Jumhur Ulama’ menyatakan hari Isnin adalah hari kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم. Maka aku menyeru kepada sekelian sahabat dan muhibbinku dimana sahaja kalian berada, jadikanlah hari Isnin sebagai hari untuk menzahirkan kecintaan dan kesyukuran terhadap kurniaan Allah ini. Zahirkan ia dengan berpuasa (bagi mereka yang mampu), bersedekah (sekadar mampu) kepada anak yatim, fakir miskin atau golongan fi sabilillah. Disamping itu tahanlah dirimu dari kemarahan, memohon maaf dan memaafkan serta jadikan ia hari melebarkan kasih sayang antara satu sama lain.
Selain itu, adakanlah majlis maulud dengan membaca selawat atau berzanji, berqasidah, burdah atau dalailul khairat pada siang atau malamnya, sama ada dengan keluarga, jemaah atau masyarakat serta membaca hadith-hadith, kisah-kisah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan diakhiri dengan sedikit jamuan kesyukuran jika mampu.
Pada malam Isnin juga bangunlah mengerjakan solat tahajjud, memperbanyakkan bacaan selawat-selawat pilihan dan membaca al-Quran sebagai tanda kasih pada mukjizat Baginda صلى الله عليه وسلم.
Ikatkan hatimu, keluarga dan umat ini dengan cinta dan syukur pada Baginda صلى الله عليه وسلم. Sesungguhnya musuh-musuh Allah sentiasa merancang untuk menanggalkan hubungan hati umat Islam dengan Baginda saw kerana ikatan cinta pada Baginda صلى الله عليه وسلم adalah kunci kekuatan, keberkatan dan pertolongan Allah!
Allahuma solli wasallim wa barik ‘alaihi wa ‘ala aliih..