QASIDAH dan BURDAH adalah himpunan syair-syair memuji Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang dikarang para pencinta Nabi صلى الله عليه وسلم . Ia bagi menzahirkan kecintaan mereka kepada Baginda صلى الله عليه وسلم yang diutuskan sebagai pembawa rahmat ke sekelian alam.
SENARIO DI INDONESIA
Saya pernah beberapa kali berziarah ke Indonesia, sama ada di Pulau Jawa, Sumatera dan lainnya. Saya perhatikan majlis Maulidur Rasul صلى الله عليه وسلم dan bacaan pelbagai qasidah diadakan hampir di pelusuk tempat di sana. Ia dilangsungkan dalam suasana yang amat meriah dan kehadiran pada sesetengah majlis tersebut mencecah puluhan ribu orang!
Saya mula terfikir, kenapa kesenian Islam yang begitu mengasyikkan dan mampu memberi kesan besar pada jiwa para pendengarnya hampir lenyap dalam masyarakat di negara kita hari ini. Malahan, di kalangan pondok-pondok juga amat sedikit yang mempraktikkannya.
Walaupun bacaan qasidah dan puji-pujian ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم ini ada dibuat pada majlis-majlis Maulidur Rasul saw yang disambut bersama-sama dengan para Habaib (dari dalam dan luar negara), namun kebanyakan majlis demikian bersifat eksklusif dan dihadiri kalangan tertentu sahaja.
METHOD PEMBANGUN KESEDARAN JIWA
Saya merasakan kesenian Islam seperti ini adalah satu method dakwah yang sangat berkesan. Ia berdasarkan pengamatan saya khususnya ketika di Indonesia disamping mengkaji pendekatan para ulama silam dalam menyebarkan dakwah di Nusantara ini. Terbukti, dakwah kesenian ini merupakan satu method yang sangat berkesan untuk membuka kesedaran fitrah mereka untuk kembali kepada agama berteraskan cinta Allah dan Rasul.
Justeru, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan kembali kesenian Islam dalam bentuk qasidah ini kepada seluruh masyarakat dan menjadikan negeri Terengganu sebagai tapak permulaan usaha ini.
USTAZ SABRI PINDAH KE TERENGGANU
Sebagai langkah awal, saya memanggil sahabat saya, Ustaz Md. Sabri bin Ahmad yang ketika itu menetap di Klang, Selangor untuk berpindah ke Terengganu. Memandangkan beliau mempunyai bakat dalam kesenian dan amat berminat dengan kesenian qasidah, maka saya minta beliau menjadi guru untuk mengajar kesenian ini kepada masyarakat, khususnya di Terengganu.
Setelah pindah ke Terengganu, kami memulakan langkah dengan menyusun beberapa qasidah dengan mendapatkan sebanyak mungkin kaset atau cd qasidah yang ada di pasaran Indonesia. Setengahnya diolah semula bagi disesuaikan dengan masyarakat di sini dengan dibuat transliterasi dari Bahasa Indonesia @ Arab kepada Bahasa Malaysia.
Ustaz Sabri (berdiri) sedang mengendalikan kelas untuk Rakan Burdah Kemaman |
Dalam pada itu, ustaz Sabri berusaha secara intensif untuk menguasai beberapa qasidah terpilih. Setelah dapat menguasainya, beliau mula membuka kelas pengajaran kesenian qasidah kepada kanak-kanak dan remaja (lelaki dan perempuan) dengan mewujudkan Rakan Burdah di Kemaman dan kemudiannya mengembangkannya ke Kuala Terengganu, Dungun dan beberapa tempat lagi. Turut diadakan ialah kelas untuk muslimat terutamanya di kalangan ibu ahli Rakan Burdah sendiri.
Apabila saya membuka RIBATH, sebahagian besar anak-anak dari Rakan Burdah menjadi pelajarnya. Ini menjadikan usaha mengajar kesenian qasidah lebih mudah dan lebih banyak masa dimanfaatkan bersama mereka bagi membolehkan mereka menguasai kesenian ini.
Ustaz Roslan (kopiah hitam) sedang mengajar bermain alatan kesenian |
Bagi memantapkan lagi persembahan, dengan izin Allah saya ditemukan dengan Ustaz Roslan bin Darus yang amat mahir dalam permainan alatan muzik Islami seperti Drabuqa (rythm), Yankie (bass), Shaker (twiter) dan Tambourine. Beliau dari kumpulan nasyid "Cahaya Hati" yang mendapat bimbingan langsung dari kumpulan nasyid Rabbani yang terkenal itu. Bila kami memohon beliau melatih anak-anak Ribath, beliau dengan senang hati menurunkan ilmu dan kemahirannya. Alhamdulillah, dalam masa yang singkat anak-anak ini dapat menguasai dengan baik semua alatan di atas.
Setelah memiliki kemahiran memainkan alatan-alatan tersebut, para sahabat mula menyusun gerak kerja dalam memperkenalkan kesenian Qasidah ini kepada seluruh masyarakat khususnya di Terengganu. Tiada lain tujuannya, melainkan untuk menanamkan kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Method dakwah sebegini agak mudah tapi sangat menarik dan efektif dalam membawa masyarakat kepada agama khususnya untuk mengingati dan mencintai Baginda صلى الله عليه وسلم .
PERSEMBAHAN DALAM PELBAGAI MAJLIS DAN TEMPAT
Alhamdulillah, dengan gerak kerja yang tersusun, anak-anak Ribath diatur membuat persembahan di merata-rata tempat sama ada di madrasah-madrasah, majlis kahwin, majlis maulud, majlis ceramah dan sebagainya. Manakala tempat diadakan persembahan pula antaranya di dataran masjid, hotel-hotel, sekolah-sekolah, IPTA/IPTS, Kompleks Pejabat Kerajaan/Swasta dan lain-lain lagi.
Syukur tiada terhingga kerana akhirnya usaha memperkenalkan kesenian Qasidah ini mendapat sambutan yang baik dari pelbagai pihak. Ia mewujudkan satu fenomena baru dimana qasidah-qasidah ini mula diminati dan menjadi siulan segenap lapisan masyarakat kini. Boleh dikatakan setiap masa ada sahaja jemputan yang diterima untuk membuat persembahan pada acara-acara tertentu di dalam dan di luar Terengganu. Bahkan ada beberapa pihak yang mula mengambil pendekatan sebegini dalam menangani permasalahan di kalangan anak-anak atau orang dibimbing mereka.
KESAN POSITIF
Ustaz Mustaffa Kamal sedang menyampaikan ceramah pada Majlis Cinta Rasul di Batu Buruk |
Sebagai contoh, sahabat saya Ustaz Mustaffa Kamal sendiri. Pada awal mengenalnya, beliau telah mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Al-Hidayah di Batu Buruk, Kuala Terengganu. Menurut beliau, cabaran besar yang dihadapi adalah untuk mendisiplinkan para pelajarnya yang datang dari pelbagai latarbelakang. Namun, selepas beliau mengambil pendekatan kesenian ini, berlaku perubahan besar pada para pelajarnya terutama dari sudut disiplin, kesungguhan belajar, akhlak dan adabiah. Sehingga sekarang, beliau mempelopori Majlis Cinta Allah & Rasul yang diadakan di pelbagai tempat melalui platform IPTAF. Dan madrasah beliau turut ditukar nama kepada Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliyah.
Begitu juga dengan Ustaz Masridzi Sat yang memimpin PERKID. Ia merupakan NGO yang berusaha memulihkan remaja atau belia yang terjebak dengan pelbagai gejala sosial masa kini. Disamping menggunakan method perubatan dan pemulihan secara Islam, beliau juga menjadikan aspek latihan fizikal sebagai kaedah untuk memulihkan mereka. Namun menurut beliau, walau pelbagai cara digunakan kadang-kadang perubahan yang diharapkan tidak berlaku seperti yang dijangkakan.
Alhamdulillah, setelah beberapa ketika beliau dapat melihat beberapa perubahan positif yang berlaku di kalangan pelatihnya. Malah, beberapa kesukaran yang dihadapinya sebelum ini dapat diatasi dengan baik. Pendekatan kesenian qasidah ini ternyata berjaya menjadi “nilai tambah” yang amat berkesan dalam usaha pihak PERKID memulihkan individu-individu yang bermasalah itu.
RASULULLAH صلى الله عليه وسلم KUNCI KERAHMATAN
Keyakinan saya hanya satu… bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah kunci bagi kerahmatan! Mencintai dan memuji-muji Baginda saw akan membuka pintu kecintaan dan pertolongan Allah agar dikurniakan kerahmatan. Tanpa mencintai Baginda صلى الله عليه وسلم , manusia dan alam tidak akan mencapai kecintaan Allah dan memiliki kerahmatan dalam kehidupan mereka di dunia dan akhirat!
[ lagi foto-foto berkaitan... sebahagian sahaja ]
Maulidur Rasul di sebuah sekolah di Dungun |
Majlis Perkahwinan |
Maulidur Rasul di Kemaman |
Maulidur Rasul di sebuah sekolah di Kemaman |
Malam Cahaya Kesenian di Dataran Rekreasi Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu |
Majlis Aidil Fitri di Pantai Teluk Mak Nik Kemaman |
Jemputan Khas di Karnival Jualan Mega peringkat Negeri Terengganu |
Persembahan sempena ceramah motivasi di sebua sekolah rendah di felda Dungun |
Persembahan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Perak |