Khamis, Mei 13, 2010

Jadikan SYUKUR Permata Dalam Hatimu

Wahai sahabat dan muhibbinku,

Didik dirimu sentiasa dalam keadaan bersyukur padaNya dalam keadaan sikit atau banyak, susah atau senang, sakit atau sihat, payah atau mudah, lalai atau ingat, dimakbul doa atau dilambatkan, dalam ujian musibah atau ujian kenikmatan, dalam kegagalan atau kejayaan. Sesungguhnya ku perhatikan ramai di kalangan masyarakat kini tiada bersyukur kepada Allah, benarlah firmanNya:

“Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Al-Mu’min: 61)

Mereka hanya mahu bersyukur apabila berjaya atau ketika banyak atau ketika kaya atau ketika tercapai hajat. Ini lantaran tiada makrifat hati mereka terhadap kasih sayang Allah pada dirinya. Apakah apabila Allah memberi kita sedikit, tiada tercapai hajat, gagal atau lainnya bermakna kita tiada dikasihiNYA? Siapakah kita untuk mengetahui rahsiaNYA? Apa yang penting bagi kita hendaklah faqir dalam sifat keAgunganNYA, bersangka baik dan sentiasa bersyukur pada takdirNYA.

Syukur adalah kunci kekayaan yang menyebabkan dirimu tiada akan resah, gelisah dan banyak merungut-rungut dalam kehidupan. Syukur adalah sentiasa redha dengan Allah dalam apa jua keadaan. Syukur adalah memandang pilihan Allah lebih baik daripada pilihan dirinya. Syukurlah jika dirimu tiada dikenali kerana ia menyelamatkan dirimu dari sifat riak. Syukurlah jika dirimu dihina kerana ia menyebabkan nafsu kesombongan hancur. Syukurlah dirimu diberi sedikit kerana selamat dirimu daripada ketamakan dan panjang angan-angan. Syukurlah dirimu dipilih dalam golongan yang berzikir walaupun tiada dikurniakan keasyikan kerana engkau dapat menaiki tangga kewalian dengan kesabaran dan istiqamah.
Seorang pesakit akan membiarkan apa jua yang mahu dilakukan oleh seorang doktor, ia berkeyakinan bahwa doktor dihadapannya mahu menyembuhkan penyakitnya dan amat pakar dengan kaedah rawatannya walaupun terpaksa membedah dan melukainya. Walaupun ia sakit dengan luka, tapi pesakit akan berterima kasih kepada doktor yang telah menyembuhkannya.

Tidakkah Allah amat menyayangi hambaNYA, segala keputusannya walaupun pada seekor semut adalah berdasarkan ilmu dan cinta. Justeru itu, bermujahadalah dirimu dengan syukur, ia akan memadamkan kegelisahan, tiada redha, kecewa, merasai lemah, kerdil, hina, kurang kemampuan, dengki, dendam, tamak, panjang angan-angan dan lain-lain lagi daripada sifat mazmumah.

Belajar bersyukur yang sedikit, nescaya Alah akan menambah nikmat kepada kita. Firman Allah SWT:

“… Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

Jika kita berzikir hanya dapat di lisan tetapi tiada hadir hati, bersyukurlah kerana Allah masih memilih kita daripada golongan yang berzikir, insyallah akan dikurniakan nanti zikir pada hati. Tetapi jika kita banyak merungut dan bertanya-tanya kenapa hati tidak asyik, nescaya tiada akan dapat hadir pada hatinya sehingga mereka bertaubat daripada sifat rungutan itu.

Bersyukurlah kepada Allah dengan tiada memalingkan diri dengan segala nikmat yang dikurniakan selagi ianya halal bagi kita. Sesungguhnya Allah ciptakan apa yang ada di bumi dan di langit adalah untuk hambaNYA yang soleh. Allah menyuruh kita mengambil segala nikmatNya, hanya yang dilarang apabila perkara tersebut memberi mudharat bagi hambaNya bukan untuk menyusahkan hambaNya.

Justeru itu ambillah segala apa jua yang dibuka atau dikurniakan Allah kepada kita di atas sifat mahu mensyukuri nikmatNya, namun jangan sampai menjadi hina dengan meminta-minta atau menjadi hamba kepada apa yang diinginkan. Jangan terlalu melampau dalam kemahuan untuk mendapatkan sesuatu kenikmatan, kerana ia adalah nafsu ammarah, namun jangan memalingkan diri jika nikmat itu mendatangi mu.

Ambillah segala nikmat Allah dan letakkan pada tanganmu, jangan di hatimu. Duduk dirimu di atas singgahsana kenikmatan, bagaikan Nabi Allah Sulaiman (a.s) dengan kerajaanNya, namun hatinya tunduk dan syukur kepada Allah. Islam tidak datang untuk memenjarakanmu, tetapi Islam menyuruh kamu bermakrifat kepada Allah dalam apa jua keadaan dan tiada melampaui batas sehingga jatuh martabat kemuliaanmu menjadi haiwan.

Ambillah nikmat TUHANmu dengan sebaik-baiknya, jadikan dunia ini bagaikan syurgamu, namun hendaklah kamu berhartakan permata SYUKUR dalam hatimu.

al faqir Tokku